Kisah Pelik : Wanita Obses Bela 50 Anak Patung

APABILA Alice Winstone, ibu kepada lima orang anak ini diberitahu yang dia tidak boleh mengandung lagi atas sebab kesihatan, dia tetap berazam untuk mengisi setiap inci ruang rumahnya dengan bayi.

Ibu berusia 39 tahun ini sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk membeli 50 anak patung bayi yang kelihatan betul-betul hidup.  Dalam masa tujuh tahun, dia membelanjakan sebanyak RM59,500 untuk membeli anak patung palsu itu, walaupun tiga daripada lima anaknya masih berkongsi rumah yang sama.

Obsesi Alice terhadap patung bayi yang setiap satunya berharga RM5,900 menyebabkannya perlu menyimpan sebanyak RM247 sebulan. Akibat hobi melampau itu, suaminya, Chris bertindak keluar dari rumah mereka di Cardigan, Mid Wales, Britain.

Alice membeli bayi palsu pertamanya yang diberi nama Emily pada harga RM892 selepas dia melihat iklan dalam majalah. Dia serta-merta jatuh cinta dengan patung bayi itu.

Selepas melahirkan anak bongsunya, Jessica, yang kini berumur 12 tahun, Winstone diberitahu dia tidak boleh mengandung disebabkan mempunyai gangguan darah yang akan membuatkan kandungannya tidak selamat.


ALICE turut melakukan tugas-tugas seorang ibu seperti menukar pakaian patung bayinya.

“Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, saya tidak bekerja dan mula mengumpul anak patung bayi. Setiap hari saya akan menguruskan ‘anak-anak’ saya ini dan sekali-sekala membawa mereka bersiar-siar menaiki kereta.

Obses
“Saya menjaganya seperti saya mengasuh bayi saya sendiri. Mereka seperti patung bernyawa dan saya berasa terjalin satu ikatan yang rapat dengan mereka,” beritahu Alice.

Dia turut mengakui lebih gemar menjaga anak patungnya daripada mengadakan hubungan seks dengan suaminya.

“Saya cuba membela kucing, dan menjaganya seperti kanak-kanak tetapi saya tidak dapat membayangkan perasaan di mana saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kucing belaan saya itu.

“Anak patung ini adalah yang terbaik. Saya dapat memakaikan mereka baju, menyikat rambut dan mencuci pakaian mereka tanpa lampin kotor dan menidurkan mereka,” ujarnya.



Alice memberitahu, dia menjadi sensitif terhadap patung-patungnya itu dan bimbang sekiranya anak atau kucingnya berada berhampiran patung-patung kesayangannya itu. Disebabkan itu, dia membeli katil bayi dan memindahkan kesemua bayi palsunya itu ke bilik tidur.

“Akhirnya Chris berpindah keluar kerana dia tidak dapat menerima kegilaan saya terhadap patung bayi palsu itu. Dia turut menyatakan yang dia tidak faham mengapa saya melayan anak patung itu seperti bayi sebenar.

“Saya cuba memberitahunya betapa mereka berjaya membuatkan saya gembira selepas disahkan tidak boleh mengandung lagi tetapi dia hanya menganggap itu adalah obsesi yang bodoh.

“Mereka (patung bayi) kemudian menjejaskan kehidupan seks kami kerana saya mahu sesetengah daripada mereka berada di katil dengan kami, tetapi Chris enggan.

“Kami telah berbincang tentang perkara-perkara lain dalam hubungan kami, tetapi anak patung benar-benar tidak membantu walaupun mereka kelihatan begitu hidup,” jelasnya.

Bayi sebenar
Tuturnya, dia lebih rela kehilangan suami daripada patung-patung bayinya itu. Dia gemar apabila ‘anak-anak’ patungnya itu berada dekat dengannya malah tidak dapat menanggung rindu sekiranya berjauhan daripada mereka untuk tempoh yang lama.

“Selepas Chris berpindah keluar, saya menukar bilik kami menjadi nurseri kerana saya tidak memerlukan ruang tambahan.

“Chris masih melawat rumah kami untuk berjumpa tiga daripada lima orang anak kami yang tinggal bersama saya iaitu Kyle, 17; Charlie, 15, dan Jessica, 12.

“Sudah tentu, saya lebih menyayangi anak-anak saya kerana saya tahu bayi-bayi ini adalah palsu. Saya masih waras,” katanya.

Ujarnya lagi, walaupun sudah menghabiskan banyak wang untuk membeli anak patung bayi itu, dia juga sering pergi ke pameran anak patung dan menukar mereka dengan anak patung lain.


“Rhys adalah kegemaran saya, saya mahu tidur dengannya pada setiap malam. Baru-baru ini, saya membawanya melawat Zoo Chester dan ramai orang datang kepada saya sambil memberitahu dia comel tetapi mereka tidak percaya apabila saya memberitahu yang Rhys adalah anak patung,” tambahnya.

Dia juga pernah ditahan oleh pihak polis kerana membiarkan empat daripada anak patungnya itu duduk di bahagian belakang tanpa menggunakan kerusi bayi.
 
“Apabila saya memberitahunya mereka adalah anak patung, dia tidak mempercayai saya dan saya rasa dia fikir saya gila.
 
“Tetapi apabila dia sedar mereka bukan bayi sebenar, itu menunjukkan berapa banyak peratus mereka kelihatan seperti kanak-kanak yang sebenar. Sebab itulah saya menyukai mereka,” ceritanya.

Petikan : Kosmo 09 Sept 2012

Post a Comment

0 Comments