Resepi Kerabu Daun Kaduk Simple Dan Sedap

Ramai yang tidak berapa kenal daun kaduk atau ramai yang tersalah anggap antara daun kaduk dengan daun sireh.  Ala jangan risau la sebab saya dulu pun hanya kenal daun sireh sebab mak hanya guna daun kaduk sewaktu membuat nasi ulam di bulan puasa.  Pernah dengar dan tak pernah kenal dengan lebih arif perihal daun kaduk ni sebab memasak bukan my forte hehee.  Tapi sejak berkahwin dan selepas bertahun baru la saya mengenali daun kaduk ni...


Ok daun kaduk ni memang cukup sinonim pada orang Thailand sebab Miang Kam tanpa daun kaduk bukan bernama miang kam kalau guna daun sireh..haha


kerabu daun kaduk
Resepi Urap Daun Kaduk Simple Dan Sedap


Resepi Kerabu Daun Kaduk - versi 1


Bahan-bahan:
15 helai daun kaduk, dibasuh dan ditoskan
2 helai daun cekur (kalau tak letak pun tak apa)
3 biji limau kasturi

Bahan untuk ditumbuk

10 tangkai cili kering
3 tangkai cili api (kalau tak letak pun tak apa)
5 ulas bawang merah
½ biji kelapa parut, ambil bahagian yang putih


Cara membuatnya :
  • Daun kaduk yang telah ditos kering dihiris halus-halus
  • Tumbuk cili kering hingga halus dan kemudian bawang merah.  Bila sudah lumat, masukkan kelapa parut ditumbuk
  • Masukkan bahan yang ditumbuk ke dalam bekas serta daun kaduk, perahan limau kasturi dan digaul hingga rata dengan garam secukup rasa. 

Kalau suka boleh taburkan beras tumbuk (yang telah disangai) bagi memberi rasa yang lebih umpph!


Resepi Kerabu Daun Kaduk - versi 2


Bahan-bahan:

10 - 15 helai daun kaduk
1 cawan kelapa parut putih
1 gengam ikan bilis, digoreng
Garam secukup rasa

Bahan untuk ditumbuk
5 tangkai cili api
5 biji bawang merah kecil
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
½ inci belacan dibakar
1 camca udang kering, dibasuh dan ditoskan


Cara membuatnya

  • Daun kaduk dicuci bersih dan ditoskan sampai kering kemudian dihiris halus (ikut kesukaan pun boleh).
  • Gaul bahan yang ditumbuk halus dengan kelapa parut hingga rata.  Masukkan garam secukup rasa dan kemudian masukkan daun kadut yang telah dipotong halus. Masukkan ke dalam kuali dan digoreng sangai (tanpa minyak) selama lebih kurang 2 minit.  Tutup api
  • Masukkan ke dalam bekas dan tabur ikan bilis goreng sebelum dihidangkan bersama nasi panas.


Selamat Mencuba!

Kenali Daun Kaduk
Daun Kaduk atau wild betel leaf, wild pepper lead ni seakan daun sirih sebab tu ada yang panggil sirih tanh, sirih duduk dan banyak lagi.  Selain daun, bahagian batang, kulit dan bijinya pun ada kegunaan dan ianya berasal dari Malaysia, Borneo & Indonesia.

Pokok Kaduk atau nama saintifiknya Piper sarmentosum roxb berasal dari keluarga Piperaceae merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di Asia. Pokok Kaduk adalah tumbuhan herba tumbuh melintang di daratan (terrestrial), tidak berbulu (glabrous) memiliki cabang-cabang panjang yang menjalar (procumbent) berukuran ketinggian 0.3-0.8 m. Keseluruhan bahagian pokok kaduk muda mempunyai debu-debu halus apabila muda, berjantina berasingan (dioecious). Daun kaduk biasa berselang-seli, lembut  dan bentuk jantung (cordate), berwarrna hijau dan bentuknya menyerupai seakan-akan daun sirih tetapi agak berbeza.  Daun bahagian rendah kebiasanya berbentuk bujur telur (ovate), bahagian atas daun agak melonjung bujur atau ovate-oblong, di bahagian pangkal berbentuk membujur hampir lunjung (ovate–cordate). Warna daun hijau gelap dengan batang halus (petiol) berukuran  2.5-5 cm panjang

Pokok kaduk mudah dibezakan melalui cabang  ranting buah yang merentasi tanah tanpa akar yang besar, gempal, berbuah manis bila matang. Buah berry-nya berbentuk bujur dan rasanya manis. Rasa manis dari buah ini sama seperti dengan buah masak berduri Elaeocarpus (Elaeocarpus serrate) . Rasa daun kaduk lebih lembut di banding daun sirih walaupun baunya masih sedikit tajam

Lazimnya, ia dijadikan tanaman hiasan di halaman rumah oleh kebanyakan masyarakat kita malah ramai yang tidak sedar pokok kaduk berfungsi lebih bukan sekadar hiasan atau sebagai ulaman. Ianya mudah dibiak melalui anak benih atau keratan batang. 

Air rebusan dari akar pokok ini dapat melawaskan kencing dan mujarab untuk merawat demam malaria dan bagi melegakan batuk, selsema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang. 
  • Bagi penggemar makanan Thai pasti cukup mengenali daun kaduk yang dijadikan daun balutan untuk miang-kham, sejenis makanan ringan tradisional, ia juga merupakan salah satu daripada bahan untuk kari Kaeng-khae dari Thailand Utara. 
  • Bagi masyarakat Laos (Laotian cuisine), ia adalah sebahagian daripada ramuan salad. 
  • Dalam masakan Melayu (Malay cuisine), ia diracik untuk dimakan sebagai ulaman, jenis salad orang Melayu dan bagi orang Utara daun kaduk antara ulaman didalam nasi ulam yang dibuat setiap bulan puasa. 

PENGGUNAAN DALAM PERUBATAN TRADISIONAL Daun kaduk diguna dalam ubat-ubatan tradisional di Asia. Analisa kimia menunjukkan daun kaduk mengandungi anti-oksida naringenin. Amides dari buah pokok kaduk didapati mempunyai aktiviti anti-tuberculosis dan anti-plasmodial. Daun kaduk diguna dengan cara meminum jus nya, untuk melegakan gejala malaria dan berkesan untuk merawat demam, batuk, asma, selsema, reumatisme, Keradangan pleura (lapisan paru-paru, apabila pleura parietal terlibat, terasa sakit didada berhubung dgn selaput dada (pleurosy) dan sakit tulang belakang (lumbago).Keseluruhan tumbuhan boleh digunakan untuk merawat demam, membantu penghadaman dan untuk melegakan kesakitan otot. Akar daun kaduk adalah ubat berkesan untuk batuk, asma, Keradangan pleura, lapisan paru-paru dan kulat pada kulit jari kaki (fungoid dermatitis). Ia dikunyah untuk menghentikan kesakitan gigi. Suku Karen di Thailand mengambil daun kaduk sebagai makanan sumber kandungan terbaik tempatan untuk beta karotena dan vitamin C. Daun nya juga digunakan sebagai tonik pencernaan, karminatif, ekspektoran, ejen anti-hyperglycemic dan ejen anti-malaria. Air rebusan dari keseluruhan tumbuhan juga digunakan secara tradisional untuk merawat pesakit kencing manis.

PATI POKOK KADUK DAPAT MENCEGAH KEGEMUKAN Seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Berjaya menghasilkan pil mencegah kegemukan menggunakan pati pokok kaduk yang tumbuh meliar di hutan. Pensyarah Pusat PengajianSains Farmasi USM, Prof Dr Zhari Ismail, berkata pil yang diberi nama ‘nobesiti’ itu mampu menghalang pembuluh darah merebak keseluruh tisu badan bersama lemak makanan. “Semua lemak yang terkumpul mampu dihalang dengan pengambilan pil ini kerana bahan aktif dalam pati kaduk, ia itu daripada daun, batang, buah dan akarnya mempunyai khasiat tersendiri," Beliau berkata, kajian yang dilakukan sejak 2005 mendapati pengambilan pati pokok kaduk boleh menyekat lemak dalam badan.“Pil itu digunakan sebagai penghalang kepada pembentukan Pembuluh darah baru yang menjadi punca utama obesiti,” Prof Dr Zhari berkata, berbeza produk lain, nobesiti bertujuan menghalang punca utama kegemukan ia itu pembentukan sel lemak dalam badan.

kredit pada  http://herbadantumbuhan.blogspot.com/2012/12/khasiat-daun-kaduk_14.html


Khasiat Daun Kaduk: 
Selain pucuknya yang sering dibuat ulam dan daunnya sebagai penyedap masakan lemak, khasiat lain yang boleh dimanafaatkan terhadapnya adalah merawat; sembelit, sakitgigi, demam malaria, lemah dan sakit dalam tulang Selain daripada 4 penyakit di atas, masalah cacing dalam perut, batuk dan panau turut boleh dirawat. Hanya caranya berbeza.

  1. Melawaskan kencing - Rebus daun kaduk bersama akarnya dan diminum.
  2. Merawat demam Malaria- rebus daun kaduk dan diminum air rebusannya.
  3. Melegakan selsema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal tulang, sembelit- minum air rebusan daun kaduk dan akarnya.


Langkah-langkah merawat ketiga-tiga diatas:
  • Ambil satu dahan pokok kaduk termasuk akarnya.
  • Bersihkan keseluruhan pokok tersebut.
  • Rebus kesemua sehingga mendidih.
  • Biarkan air rebusan tadi menjadi suam.
  • Air rebusan diminum perlahan-lahan.


Cacing Dalam Perut-Mandi dengan air ramasan daun kaduk.
  • Ambil beberapa helai daun kaduk segar.
  • Ramas-ramaskan daun tersebut.
  • Kemudian, campurkan kesemua daun ramasan kedalam sebaldi air. Akhirsekali, siramkan air tersebut keseluruh badan.


Melegakan batuk-Sapu bahagian leher dengan daun yang dikisar halus bersama sedikit air. 
  • Ambil beberapa helai daun kaduk dan bersihkannya.
  • Kisar daun hingga halus dengan mencampur sedikit air.
  • Akhir sekali, sapukan pada bahagian leher.


Panau- Sapu bahagian yang ditumbuhi panau dengan daun kaduk yang ditumbuk lumat.       
  • Ambil beberapa helai daun kaduk.
  • Tumbuk sampai lumat.
  • Kemudian, sapukan pada kawasan tubuh badan yang berpanau.

Sebagai bahan dalam masakan, ulam, kerabu, urap, masak gulai ikan darat dan sebagainya.

Post a Comment

4 Comments

  1. Sedapnya! Saya pernah makan urap ni kat kenduri orang jawa. Sedaapppp gila! 😅

    ReplyDelete
  2. ray teringin nak rasa. nampak sedap !

    ReplyDelete
  3. saya suka ni kak.. tapi tak penah lagi buat sendiri. bolehlah refer sini nanti

    ReplyDelete
  4. Tak pernah lagi makan daun kaduk nie.. Apatah lagi yang dah dijadikan macam nie.. Lagilah tak pernah jumpa.. hehehe..

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!