30 Resepi Lauk Pauk Ringkas Untuk Berbuka Puasa (REPOST) | Pasti ada yang mencari resepi untuk hidangan sewaktu berbuka yang sedap dan mudah untuk disediakan buat ahli keluarga. Walau hanya lauk simple, sudah cukup buat ibu-ibu gembira kerana masih mampu menyajikan juadah buat keluarga.
30 Resepi Lauk Pauk Ringkas Untuk Berbuka Puasa |
Selain koleksi 30 resepi lauk pauk ringkas untuk berbuka puasa ni boleh juga di dapat di SINI atau bagi yang suka makan di Buffet Ramadan, klik SINI.
Jom cuba 30 Resepi Lauk Pauk Ringkas Untuk Berbuka Puasa yang senang untuk disediakan dan lazat untuk seisi keluarga.
Selamat mencuba!
Nak cari pelbagai resepi, boleh singgah ke DAPUR SWEETSOURLEYRA
Ayam Goreng Sos Lemon
Bahan-bahan
Ayam - terpulang nak banyak mana, diperap dengan sos tiram
Daun bawang / daun sup
1 biji bawang kuning atau merah
2 potongan nipis buah lemon
Bancuhan tepung
1 biji telur
1/4 cawan tepung jagung (jangan terlalu cair dan terlalu pekat)
sedikit garam
secubit lada putih
(ada orang letak baking powder dlm 1/2 sudu - terpulang ikut citarasa ya)
minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Sos Lemon
3 sudu gula
1/2 kiub ayam dibancuh dengan 1 cawan air (kalau ada chicken broth pun lagi sedap)
2 sudu perahan lemon
sedikit garam
Cara membuatnya :
- Perap potongan ayam lebih kurang 30 minit
- Bancuh bahan-bahan tepung hingga sebati. Panaskan kuali yang berisi minyak. Celupkan potongan ayam kedalam bancuhan tepung dan goreng ayam hingga masak dan bertukar warna agak perang. Ulang hingga semua ayam habis digoreng
- Masukkan semua bahan untuk membuat sos kedalam mangkuk besar dan digaul hingga sebati
- Panaskan minyak dan masukkan bahan untuk sos dan dikacau seketika dengan api sederhana hingga kuah menjadi agak pekat dan letakkan kepingan lemon untuk seketika dan tutup api.
- Tuang sos keatas ayam dan kalau tak suka ayam tu nanti lembik, asingkan dan masukkan bila sudah sedia untuk dimakan.
Gulai Ayam Kerisek
Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam, dibersihkan dan diperap dengan garam dan kunyit
5 sudu rempah kari ikan, dimasukkan dalam mangkuk
1 pek santan segar (beli segar di Pasar Datuk Keramat)
2 biji kentang, dibelah 4
2 sudu kerisek
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
2 biji tomato,dipotong baji
1 - 2 tangkai cili merah/cili hijau
Bahan-bahan (ditumbuk)
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
Bahan (menumis)
1 labu bawang besar, dimayang
2 ulas bawang putih
2 inci halia
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 helai daun kari
1 helai daun pandan, disimpul
Cara-cara memasaknya
1. Panaskan minyak di dalam kuali atau periuk (saya suka guna kuali) dan tumis bahan-bahan tumis sehingga naik bau dan daun kari agak garing. Bahan yang ditumbuk dicampurkan dengan rempah kari hingga jadi pes.
2. Masukkan bahan-bahan kisar dengan rempah kari kacau dan biarkan dimasak hingga pecah minyak. Sesekali dikacau supaya tak hangit.
3. Setelah rempah pecah minyak, masukkan ayam dan sedikit air. Kacau sebati dan masak biar ayam sebati dengan rempah.
4. Masukkan santan dan asam gelugur, kacau. Masukkan kerisek, kacau dan biarkan kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang dan masak sehingga empuk. Tambah telur rebus goreng pun boleh.
5. Kalau suka boleh masukkan tomato dan cili hijau atau cili merah. Masak hingga nampak tomato dan cili agak lembut dan boleh dipadam api. Siap
Tomyam Ayam
Bahan-bahan
500 gm ayam. dipotong kecil
2 sudu besar pes tomyam (saya guna pes tomyam Thai)
4 biji tomato, dipotong baji
8 biji cili padi, dibelah tak putus (kalau suka pedas, boleh ditambah)
2 batang serai, diketuk
1 batang lobak merah, dihiris
2 batang celery, dipotong
1 ulas bawang kuning (bawang holland)
1 inci lengkuas, diketuk
1 ikat daun ketumbar,
4 helai daun limau purut, dikoyak
- lauk – ayam/sotong/daging/ketam/udang
- 2 sudu besar sos tiram – optional
- 2 sudu besar sos cili dan sos tomato
Cara-cara memasak
1. Rebus ayam bersama serai dan masukkan pes tomyam. Rebus hingga ayam masak benar-benar masak dengan
2. Masukkan bahan kisar tadi dalam kuali dan 1 paket perencah tomyam. Tumiskan dan masukkan air secukupnya.
3. Masukkan pula lobak merah.
4. Setelah lobak merah empuk masukkan lebihan cili padi, serai yang telah diketuk, lengkuas yang dihiris, bawang besar, gula, garam. Kalau nak lagi sedap boleh tambah 2 sudu sos tiram, 2 sudu sos cili dan 2 sudu besar sos tomato.
5. Bila dah mendidih boleh masukkan isi ayam, udang, sotong dan sebagainya.
6. Kemudian masukkan tomato,cendawan dan daun limau purut.
7. Siap untuk dihidang
Ayam Goreng Kunyit
Bahan-bahan
isi ayam, dipotong kecil
1 labu bawang besar, dipotong bulat
3 ulas bawang putih, dihiris kasar
Bahan hiasan
1 labu bawang besar, dipotong kasar
3 batang kacang panjang, dipotong 1 inci
1 batang lobak merah, dipotong memanjang 1 inci
1 tangkai cili merah, dihiris
Cara-cara memasak
1. Perap ayam dengan garam dan kunyit dalam 10 minit
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan. Pastikan dengan api sederhana
3. Masukkan ayam, kacau dah balikkan supaya ayam dimasak rata.
4. Bila ayam elok masak, masukkan kacang panjang dan cili merah serta baki bawang besar. Kacau seketika dan tutup api.
Ayam Masak Halia
Bahan-bahan
- 500 gram ayam, potong kecil
- 4 ulas bawang putih, hiris nipis
- 2 cm halia, dihiris halus memanjang
- 1 sudu besar kicap cair
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 biji bawang besar, hiris nipis membulat
- 1 biji cili merah, hiris nipis
- 1 tangkai daun bawang, hiris panjang 2cm cm
- 1 1/2 sudu kecil tepung jagung, bancuh dengan sedikit air
- minyak masak, untuk goreng ayam
- sedikit lada sulah atau lada hitam
- sedikit garam dan kunyit
- garam dan gula, secukup rasa
Cara-cara memasak
1. Panaskan minyak. Gaul ayam bersama garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Ambil sedikit minyak dari baki gorengan ayam tadi anggaran 1/2 senduk dan tumis bawang putih bersama halia sehingga naik bau.
3. Masukkan kembali ayam yang digoreng separuh masak tadi.
4. Masukkan pula sos tiram, kicap cair, dan sedikit taburan lada putih. Kacau seketika (jaga jangan sampai bawang putih hangus).
5. Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah menjadi sebati dan pekat. Tambah sedikit lagi air jika anda suka lebih kuah.
6. Taburkan dengan cili merah dan bawang besar dan kacau selama 2-3 minit sebelum diangkat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Angkat dan tabur dengan daun bawang. Hidangkan bersama nasi panas.
Ayam Masak Merah
Bahan bahan
1/2 ekor ayam
4 sudu besar sos cili
4 sudu besar sos cili tomato
1/2 biji bawang besar kuning, dihiris kasar
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
Bahan kisar
15 biji cili kering
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Bahan hiasan
Daun sup/daun bawang, dihiris
1 biji tomato, dipotong baji
Cili merah, dibelah dua
Cara membuatnya:
1. Potong ayam mengikut saiz yang dikehendaki kemudian lumurkan garam dan serbuk kunyit.
2. Goreng ayam tapi jangan terlalu garing, angkat dan ketepikan.
3. Selesai menggoreng, tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar hingga kekuningan dan naik bau
4. Masukkan cili kisar dan masak dengan api perlahan sehingga pecah minyak. Masukkan gula dan garam. Kacau rata.
5. Masukkan ayam dan bawang besar yang dihiris, sos tomato dan sos cili dan dikacau hingga rata dan sebatik. Masukkan sedikit air biar sos sebati dengan ayam.
6. Masukkan tomato (kalau suka) dan kacau seketika dan masukkan cili merah yang dibelah dua, kacau dan boleh tutup api bila nampak kesemuanya agak layu dan angkat untuk dihidangkan dan taburkan daun bawang dan daun sup jika suka.
Ayam Percik Bakar
Bahan-bahan
Beberapa bahagian ayam
1 batang serai (titik)
Rempah 3 serangkai
1/2 kilo santan
sedikit gula
garam kasar
2 keping asam gelugur
Bahan dikisar
15 tangkai cili kering
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci lengkuas
Cara-cara memasak
1. Masukkan semua bahan dalam kuali kecuali gula. Bila ayam hampir separuh masak,keluarkan ayam dan bakar.
2. Kuah lebihan rebus ayam tadi campurkan lagi sedikit santan dan gula dalam 4 ke 5 sudu.
3 Masak sampai pekat likat, sebatikan rasa masam masin sedikit, manis kena lebih. Siap
Sup Ayam
Bahan-bahan
350 gm ayam, dipotong kecil
1 bungkus sup bunjut
Rempah 4 beradik
1 biji kentang, dipotong 4
1 batang loak merah, dipotong kecil
1 biji tomato, dibelah 4
1 batang celery, dipotong serong
Daun sup dan daun bawang, dihiris
Bahan ditumbuk
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara-cara memasak
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk sehingga naik bau dan kekuningan
- Masukkan ayam dan air. Renih dengan api sederhana hingga nampak isi ayam hampir lembut, masukkan celery, kentang dan lobak merah serta sup bunjut.
- Masak dan biarkan sup mendidih, masukkan garam secukupnya serta daun sup dan tomato. Bila tomato nampak lembut, tutup api.
- Taburkan daun bawang dan sup ketika dihidang.
Gulai Daging
Bahan-bahan
400 gram daging
2 biji ubi kentang – potong 4
3 cawan santan segar
4 sudu rempah kari ikan (saya suka rempah kari ikan berbanding kari daging)
Garam secukup rasa
Setangkai daun kari
Bahan tumisan
3 ulas bawang merah, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
2 inci halia, dihiris
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
2 biji bunga lawang
Cara Memasaknya:
- Bersihkan daging dan potong kecil, campurkan rempah kari dan gaul rata.
- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah, bawang putih, halia hingga kekuningan dan naik bau kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Kacau sehingga naik bau.
- Masukkan daun kari dan kemudian daging yang telah disatukan dengan rempah. Kacau sehingga rata dan tunggu sehingga pecah minyak.
- Masukkan ubi kentang dan kemudian santan. Kalau suka kari pekat, masukkan santan cair dahulu dan bila sudah sebati, masukkan santan pekat.
- Kacau kuah dan bila daging serta ubi kentang telah empuk, tutup api dan perasakan dengan garam secukupnya.
Nota : masukkan kerisek supaya kuah menjadi pekat
Masak Kurma Daging
Bahan-bahan :
400 gm daging, di potong, di basuh dan di tos
4 sudu serbuk rempah kurma Adabi
2 sudu besar kerisik
1 biji kentang, dibelah 4/6
2 biji cili hijau, dipotong tidak putus
2 labu bawang besar, di potong baji
Santan secukupnya
2 keping asam gelugur
Garam secukup rasa
Minyak
Bahan kisar :
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
3 biji buah keras
Bahan tumis:
1 biji bawang merah, di hiris
2 ulas bawang putih, di hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 batang serai, di ketuk
Cara membuatnya :
- Campurkan bahan yang dikisar bersama rempah (jadi pes) tapi jangan terlalu pekat
- Panaskan minyak dan tumis semua bahan penumis hingga naik bau wangi.
- Masukkan pes kurma (campuran bahan kisar dan rempah), kacau hingga pecah minyak. Pastikan dengan api sederhana supaya tidak hangit
- Masukkan daging dan kacau rata. Biarkan daging dimasak perlahan hingga nampak kecut.
- Masukkan santan, kerisik dan kentang. Masak hingga daging dan kentang empuk.
- Akhir sekali masukkan garam dan asam gelugur dan biarkan dimasak hingga kuat menjadi pekat dan boleh ditutup api.
Daging Goreng Kunyit Kacang Panjang
Bahan bahan:
1/2 kg daging, direbus dan dihiris
Bahan lain:
1 mangkuk kacang panjang
1/2 batang karot
1 biji bawang besar kuning
1 tangkai cili merah
3 tangkai cili padi
Minyak
Cara membuatnya :
1. Potong daging dengan nipis, perap dengan serbuk kunyit dan garam.
2. Panaskan minyak dan masukkan daging yang diperap. Goreng daging hingga air kering dan pecah minyak. Goreng sehingga daging empuk.
3. Masukkan lobak merah (kalau ada), masak hingga nampak lembut. Masukkan kacang panjang, kacau dan masukkan bawang kuning. Akhir sekali cili merah dan cili api. Bila semuanya nampak lembut, tutup api dan sedia untuk dihidangkan
Daging Masak Hitam
Bahan-bahan:
1 kg daging
20 tangkai cili kering, dibuang biji dan dikisar
rempah 3 sekawan
1 mangkuk kecil kicap manis
1 mangkuk kecil kicap pekat
1 senduk cuka
1 sudu makan sos tiram
1 sudu gula
Bahan untuk dikisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 batang serai
1 sudu kecil lada hitam
1 biji buah keras
1 sudu makan kismis
Cara membuatnya
1. Campurkan kesemua bahan A dan perap dalam 1 jam.
2. Panaskan minyak, tumis rempah 3 sekawan hingga naik wangi dan masukkan bahan kisar, masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan daging, renih hingga empuk dengan api sederhana. Masak hingga air yang keluar dari daging menjadi kering
4. Bila dah kering sedikit, masukkan sos tiram serta gula dan gaul supaya sebati dan dimasak hingga betul-betul kering dengan api kecil. Kacau kerap supaya tidak hangit dan dimasak dengan baik. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan
Paru Sambal
Bahan-bahan :
400 gm paru
30 tangkai cili kering, dibuang biji dan direndam dan dikisar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit kicap manis
belacan (kalau suka)
2 keping asam gelugur
Gula perang bagi mencantikkan sambal
Garam secukup rasa
Cara membuatnya
- Paru direbus dan dihiris kecil-kecil kemudian digoreng hingga garing, ketepikan.
- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah, bawang putih, halia dan belacan. Masak hingga naik bau wangi kemudian masukkan cili kering yang telah dikisar, masak hingga pecah minyak.
- Masukkan gula, kicap dan garam. Kacau sebati.
- Akhir sekali masukkan paru dan bawang yang dihiris, masak hingga kuah kering sedikit kemudian tabur bawang besar dihiris.
Ikan Senangin Masak Lada
Bahan-bahannya
2 ekor ikan senangin, dibersihkan dan dikerat dua
1 mangkuk air asam jawa
1 labu bawang besar, dimayang
3 - 4 tangkai cili kering, dikerat pendek
garam secukup rasa
Bahan untuk ditumbuk
3 ulas bawang merah, ditumbuk kasar
2 ulas bawang putih, ditumbuk kasar
1 inci halia, ditumbuk kasar
1 sudu lada hitam, ditumbuk halus
1 sudu serbuk jintan manis, ditumbuk halus
1 sudu serbuk jintan putih, ditumbuk halus
1/2 inci kunyit hidup, ditumbuk atau guna serbuk kunyit
Cara-cara memasak:-
- Potong cili kering dan digoreng jangan sampai hangit, angkat dan letak tepi
- Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang ditumbuk kasar hingga kekuningan dan naik bau
- Masukkan lada hitam, jintan manis dan jintan putih, dikacau hingga sebati dan masukkan air asam jawa, dikacau supaya mesra dan sebati. Tambah air jika perlu
- Bila kuah dah mendidih, masukkan ikan senangin. Pastikan ikan terendam dalam kuah supaya masak sempurna. Masukkan bawang besar dan kemudian cili kering yang digoreng tadi. Kalau suka pekat, boleh biarkan kuah direnih menjadi lebih kering mengikut kesukaan.
- Akhir sekali perasakan dengan garam. Siap!
Ikan Belanak Masak Pindang Utara
Bahan- bahan
5 ekor ikan belanak
4 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 batang serai dititik
2 keping asam gelugur
3 batang cili kering - dikerat 2 atau 3
cili api - kalau suka nak lebih pedas
serbuk kunyit
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Cara memasak:
- Masukkan bawang merah, bawang putih, serai yang telah dititik, asam gelugur, cili kering kedalam periuk yang berisi air. Masak dengan api sederhana hingga kuah mendidih
- Masukkan ikan belanak atau ikan kesukaan anda dan perlahankan api. Alih-alihkan ikan supaya ianya dimasak dengan sempurna
- Tutup api dan masukkan garam secukupnya dan dikacau.
Asam Pedas Ikan Pari
Bahan-Bahan:
1 ekor ikan pari, potong kecil
Minyak untuk menumis
2 sudu kecil halba
1 batang serai
3-4 helai daun limau purut
1 mangkuk cili kisar
sedikit air asam jawa
Air secukupnya
Kacang bendi
tomato
daun kesum
garam dan gula secukup rasa
Bahan dikisar halus:
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
5 ulas bawang putih
6 biji bawang merah
sedikit belacan
Cara Penyediaan:
1. Kisar bahan-bahan untuk kisar halus dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis halba diikuti serai, daun limau purut dan bahan-bahan kisar halus tadi.
3. Masukkan pula 1 mangkuk cili kisar dan masak sehingga pecah minyak. Selepas pecah minyak yang pertama, tambah sedikit air dan masak lagi sehingga pecah minyak. Ulang 3-4 kali untuk memastikan bahan tumisan cili yang mengandungi belacan betul-betul masak dan sedap rasa kuah nanti.
4. Masukkan pati air asam jawa dan air putih untuk kuah.
5. Masukkan ikan pari dan masak sehingga kuah mendidih.
6. Masukkan bendi, tomato dan daun kesum kemudian masak sehingga sayur lembut.
7.Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Ikan Siakap Kengsom
Bahan-bahan:-
1 ekor ikan siakap
1/4 biji nenas
1/2 ikat kangkung
2 batang serai, diketuk
1 biji limau nipis, diambil jusnya
2 sudu sos nampla
Garam dan gula secukupnya
Bahan kisar
10 biji cili api (saya guna cili akar warna merah yang pedas tu)
1 biji bawang besar (saiz sederhana)
6 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
Sedikit belacan (kalau tak letak pun boleh terutama mereka yang ada resdung)
1/2 cawan air
Cara membuatnya:
- Masukkan kesemua bahan kisar dan air secukupnya dalam kuali. Masak kuah hingga mendidih.
- Masukkan nenas dan serai, biarkan mendidih dan kemudian masukkan garam dan gula. Pastikan rasa masin dan masam serta manis seimbang kemudian masukkan ikan. Balik-balikkan ikan dengan hati-hati supaya isi ikan tidak hancur dan tak perlu memasak ikan terlalu lama
- Setelah ikan dah masak, masukkan masukkan kangkung dalam 3-5 minit dan tutup api bagi memastikan kangkung tidak terlalu layu.
- Perahkan limau nipis dan kacau supaya sekata dan sedia untuk dihidangkan.
Ikan Kembung Masak Taucu
Bahan-bahan:
2 ekor ikan kembung, digoreng
1 biji bawang besar, dihiris bulat
2 ulas bawang putih, dihiris
1 inci halia, dihiris
5 tangkai cili padi, dipotong dua
2 tangkai cili merah. dipotong memanjang
1 biji tomato, dibelah 4
3 sudu taucu cap Bilal
1 sudu sos ikan
1 biji timun jepun, potong 4 (jika suka)
Garam secukup rasa
sedikit air asam jawa
Sedikit air
Cara penyediaan:
- Panaskan kuali dan tumis bawang, cili, bawang putih dan halia hingga naik bau
- Masukkan taucu ke dalam tumisan, kacau perlahan supaya tauchu tidak hancur
- Masukkan 1 sudu sos ikan serta sedikit air untuk jadikan kuah.
- Masukkan timun dan tomato dan kemudian masukkan ikan kembung yang telah digoreng, air asam jawa dan tambahkan sedikit air supaya lebih berkuah. Pastikan dimasak dengan api perlahan supaya kuah meresap ke dalam ikan. Biarkan kuah mendidih seketika dan tutup api. Akhir sekali perasakan dengan sedikit garam sebab tauchu pun sudah ada masinnya. Siap!
Sotong Goreng Asam
Bahan-bahan
300 gm sotong saiz sederhana, dipotong kecil
2 tangkai cili kering, digoreng dan letak tepi
4 tangkai cili api (optional)
1 ulas bawang besar
1 mangkuk pati asam jawa
minyak untuk menumis
Bahan (dihiris)
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 inci halia
Cara memasaknya
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang dihiris hingga naik bau
- Masukkan air asam jawa, masak hingga agak kering dan masukkan sotong. Kacau supaya keduanya sebati
- Akhir sekali masukkan bawang merah, bila nampak kelayuan, masukkan cili kering dan cili api (kalau suka pedas)
- Masak hingga kuah menjadi agak kering dan perasakan dengan sedikit garam. Siap!
Sotong Goreng Kunyit
Bahan-Bahan:
500 gram sotong
2 sudu serbuk kunyit
5 batang kacang panjang, dipotong panjang
1/2 batang lobak merah, dipotong memanjang
1 biji bawang besar, dihiris
2 biji cili merah, dihiris
garam
1 sudu sos tiram
5 helai daun limau purut dibuang urat
Cara memasak
1. Cuci bersih sotong buang dakwat, mata, dan mulut sotong, basuh dan toskan. Potong sotong ikut selera dan gaul dengan garam dan serbuk kunyit.
2. Panaskan minyak masak dan tumis bawang dan cili sehingga naik bau.
3. Masukkan sotong yang telah diperap dan lobak. Bila nampak keduanya hampir masak, masukkan kacang panjang. Kacau rata
4. Masukkan sos tiram dan daun limau purut dan garam secukupnya. Biar direnih seketika dan sedia untuk dihidangkan
Udang Masam Manis
Bahan bahan:
400 gm udang harimau
3 sudu cili kisar
3 sudu besar cili sos
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 inci halia
1/4 biji nenas
Cara membuatnya
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar bersama dengan cili kisar. Masak hingga pecah minyak
- Masukkan cili sos, garam dan gula. Tambah sedikit air dan dikacau rata. Bila telah pecah minyak, masukkan udang dan kacau seketika. Siap dan sedia dihidangkan.
Udang Masak Serai
Bahan bahan:
400 gm udang saiz sederhana
1 mangkuk santan
1 sudu kecil garam
Bahan kisar:
10 tangkai cili api
2 batang serai
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Cara membuatnya
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar hingga pecah minyak
- Masukkan santan dan garam, masak hingga santan nampak mendidih, masukkan udang. Gaul biar mesra dan masak hingga kuah menjadi kering. Siap dan sedia dihidangkan.
Sambal Tumis Udang Dan Petai
Bahan-bahan:-
20 ekor udang sederhana besar
3 papan petai, diperisi dan dibelah dua
1 labu bawang besar, dimayang
Bahan dikisar
15 tangkai cili kering, dikisar hingga halus
3 ulas bawang putih
1 inci belacan
2 keping asam gelugur
Garam secukup rasa
3 sudu minyak masak
100 gm gula kabung (kurangkan dan bergantung pada kepedasan cili kering)
1/2 mangkuk kecil air
Cara membuatnya:
- Tumbuk bawang merah, bawang putih tapi jangan sampai terlalu lumat, kemudian masukkan belacan.
- Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk tadi hingga wangi dan masukkan bawang besar yang dimayang, masak hingga bawang besar menjadi lembut kemudian masukkan cili kisar serta gula kabung.
- Bila cili sudah nampak pecah minyak, masukkan petai serta asam gelugur, kacau hingga sebati dan kemudian masukkan udang. Kacau supaya cili dan udang sebati dan masukkan garam secukup rasa. Masak hingga udang berubah warna dan tutup api. Siap!
Nota:
Gula kabung boleh digantikan dengan gula putih dan kalau suka lebih basah boleh gantikan asam gelugur dengan air asam jawa.
Ketam Goreng Bercili
Bahan-Bahan:
4 ekor ketam
10 tangkai cili kering, dibuang biji dan dikisar
1 biji bawang besar, dipotong kasar
3 sudu sos cili
2 sudu sos tiram
Garam
Cara memasak:
1. Bersihkan ketam. Ketam dibelah dua. Gaul rata dengan kunyit dan garam. Panaskan minyak, gor\reng ketam sehingga garing. Angkat dan toskan.
2. Panaskan minyak, tumiskan bawang besar sehingga masak. Masukkan cili kering yang dikisar tadi. Masak sehingga pecah minyak.
3. Masukkan ketam, kacau hingga mesra dengan cili kemudian masukkan sos cili dan sos tiram serta garam secukupnya. Tambah air supaya ketam sebati dengan sos. Bila kuah agak kering, boleh tutup api dan ketam sedia untuk dihidangkan.
Sup Ketam
Bahan-bahan:
4 ekor ketam, dibelah 2 atau 4
2 biji tomato, dipotong baji
1 liter air
daun bawang, dihiris
daun sup, dihiris
Bahan untuk dihiris
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia, diketuk
Cara membuatnya :
- Ketam yang sudah dibersihkan, sepit ketak tu diketuk supaya senang nak makan nanti.
- Masukkan bawang merah dan halia ke dalam periuk berisi air dan renehkan sehingga mendidih
- Bila dah mendidih, masukkan ketam dan dimasak hingga mendidih dan masukkan tomato.
- Bila tomato dah nampak masak, taburkan daun sup & daun bawang dan garam. Bila dah siap dan nak hidang boleh tabur bawang goreng
Nota :
Jangan masukkan terlalu banyak garam sebab ketam kalau tidak hilang manis ketam tu. Kacau hingga mendidih dengan api perlahan.
Kerang Rebus
- Kerang yang sudah dibersihkan betul betul, dimasukkan ke dalam kuali. Masukkan bawang besar, serai dan garam. Tutup kuali dengan tudung periuk. Masak dalam 2 minit, kacau dan tutup api. Sedia untuk dihidangkan dan ciciah dengan sos cili
Kerang Rendang
- Panaskan minyak di dalam kuali, kemudian masukkan bahan yang telah dikisar. Tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan asam gelugur dan santan, renihkan dengan api sederhana hingga kuah menjadi agak kering.
- Masukkan isi kerang, daun kunyit dan akhir sekali kerisik, dikacau hingga sebati. Masak hingga sehingga agak kering dan pecah minyak. Terpulang kalau inginkan rendang yang kering, boleh biarkan rendang menjadi kering atau sukakan rendang yang masih lembab berkuah.
- Tutup api dan masukkan garam secukupnya. Siap!
Kerang Sambal
Bahan
1 kg kerang (bersihkan, celur dan kopek isinya)
Bahan kisar
1 bawang besar saiz kecil
1 sudu besar udang kering/bilis (optional)
1 inci belacan
Bahan hiris dan tumis
1 labu bawang besar saiz besar (hiris bulat)
4 cawan cili kering yg telah dikisar (gunting,rebus dan bilas hingga hilang bijinya)
1 keping asam keping saiz kecil
Garam dan gula
Air anggaran secawan.
Cara membuatnya
1. Panaskan minyak dan umiskan bahan yang telah dikisar dan biarkan ia naik bau. Masukkan cili kering, asam keping dan bawang yang telah dihiris tadi. Masak hingga pecah minyak, kacau selalu agar ia tidak hangit.
2. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit agar tidak terlalu cair. Masak lagi agar cili benar-benar garing, masukkan garam,gula secukupnya.
3. Masukkan isi kerang dan gaul agar sebati, tambah air jika perlu. Masak lagi agar sambal dan kerang benar-benar serasi. Tutup api apabila semua bahan mulai sebati.
Lala Masak Sambal
Bahan bahan:
10 tangkai cili kering, dibersihkan dan dibuang biji
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 batang serai - ketuk
2 sudu sos tiram
Garam
Cara memasak :
- Kisar cili kering, bawang merah dan putih serta halia.
- Panaskan minyak dan tumis serai yang dikisar hingga kekuningan, keluarkan dan tumiskan bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan lala, sos tiram dan serai tadi dan dikacau rata rata. Perasaka dengan garam dan goreng hingga masak.
Lala Masam Manis
Bahan-bahan
½ kg Lala (1 kampit)
1 batang serai - dititik
4 sudu sos tiram
2 sudu tomato sos
2 sudu kicap pekat
½ cawan air - tambah jika perlu
1 biji cili merah / hijau
daun kari
Bahan untuk ditumbuk:
10 biji cili api
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara memasaknya:
- Tumiskan serai yang dititik hingga kekuningan dan masukkan bahan yang ditumbuk, dimasak hingga kekuningan dan masukkan daun kari.
- Masukkan lala dan air, biarkan dimasak sehingga ia lala separuh terbuka
- Masukkan sos tiram, kicap, sos, masak seketika dan kacau hingga sebati
- Masukkan cili hijau / merah sebagai hiasan dan tutup api. Siap!
Tip membersih lala:
Lala dimasukkan ke dalam besen berisi air hingga menutupi dan letakkan garam. Tutup dan biar dalam 30 minit dan kemudian bersihkan kotoran, pasir dan selut pada lala. Toskan
1 Comments
Pergh kecur air liur tgok time bulan puasa ni hihiks..paling minat ayam,daging dan sotong goreng kunyit..simple but delicious
ReplyDeleteTerima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!