ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (HR al-Tabrani)
Amalan sunat hari Arafah ialah berpuasa sunat bersempena dengan hari Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Umat Islam digalakan mengerjakan puasa sunat pada hari Arafah Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Puasa hari Arafah, ku mengharap agar Allah SWT mengampuni dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya,” – Riwayat Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi
Maksud Hari Arafah
Hari Arafah juga adalah hari kedua dalam ibadah haji bagi umat Islam yang mampu melaksanakannya. Dipanggil nama sedemikian kerana pada hari ini para jemaah haji akan ke Gunung Arafah dari Mina serta Padang Arafah.
Ketika melakukan wukuf, jemaah berkumpul dengan penuh khusyuk mengabdikan diri dan menadah tangan berdoa agar diampunkan dosa dan diterima segala amalan.
Ganjaran puasa Arafah.
Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.
Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya mengenai puasa pada Hari Arafah:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”.
[Riwayat Muslim (1977)]
Ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah.
Tarikh Puasa Hari Arafah 2023
9 Zulhijjah 1444H bersama 28 Jun 2023, hari Rabu
Puasa Sunat Arafah dilakukan pada setiap 9 Dzulhijjah dalam kalendar hijrah Islam dan 8 Dzulhijjah, kita disunatkan untuk berpuasa Tarwiyyah.
Umat Islam di Malaysia yang ingin menunaikan puasa sunat sempena hari Wukuf di Arafah boleh melakukannya dengan mengikut kalendar Malaysia (berpandukan pakar rujuk ibadah haji) meskipun Arab Saudi akan mengerjakan wukuf pada 27 Jun 2023.
Waktu Doa Mustajab Arafah
Waktu doa mustajab Arafah bermula masuk waktu Zuhur hingga waktu Maghrib. Waktunya ialah selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga sebelum terbit Fajar 10 Zulhijjah.
Arab
Saudi |
Malaysia |
9 Zulhijjah 1444, Selasa 27 Jun 2023 |
8 Zulhijjah 1444H, Selasa 27 Jun 2023 |
Zuhur 12.23 tengahari hingga 7.06 malam |
5.23 petang hingga 12.06 malam |
Berdoalah di mana jua, kita hanya menyatakan permohonan kita kepada Allah SWT hak menunaikan adalah hak Allah Ta’ala.
Nabi Muhammad Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah. - HR At Tirmidzi dishahihkan Al-Albani
Niat Puasa Hari Arafah
Tiada niat khusus bagi bagi menunaikan ibadah puasa sunat, namun bacaan niat puasa Hari Arafah boleh digunapakai
- "Sahaja aku berpuasa sunat esok hari Arafah kerana Allah Ta’ala"
- "Sahaja aku puasa sunat Arafah kerana Allah Ta’ala"
- “Aku berniat puasa sunat Arafah kerana Allah Taala”
Doa berbuka puasa untuk puasa sunat Arafah
Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksudnya: Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Doa Hari Arafah Yang Ma’thur
Doa Hari Arafah bukan sahaja baik dibaca oleh Jemaah Haji pada hari Arafah, tetapi disunatkan juga kepada seluruh Umat Muslim di seluruh dunia walaupun tidak berada di Padang Arafah.
Zikir Hari Arafah
Walaupun kita tidak dapat berhimpun dan memperoleh kemuliaan berwukuf di Padang Arafah sepertimana para jemaah haji di Tanah Suci, tetapi kita turut dibolehkan untuk berdoa dan beramal walau di mana pun kita berada.
Kita digalakkan untuk melakukan amalan-amalan sunat seperti solat, berpuasa, berzikir dan berdoa terutama dengan zikir doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Zikir Doa Hari Arafah ini sebaik-baiknya dibaca seberapa banyak yang termampu selepas solat Zuhur pada 9 Zulhijjah sehingga menjelang Subuh 10 Zulhijjah.
At-Tarmizi meriwayatkan, semasa Hari Arafah, Nabi mengamalkan zikir doa berikut:
Laa ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul Hamdu Yuhyi Wayumitu Wahuwa A’la Kulli Syai’in Qadirr
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu.
Daripada Amru bin Syu’aib dari ayahnya dan daripada datuknya, Abdullah bin Amr bin Ash radhiyallâhu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:
Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu, “Tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu.” — Hadis Riwayat at Tirmizi
Hukum & Amalan Puasa Bulan DzulHijjah
1. Al-Imam as-Syaf’ie berpendapat:
Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”
2. Dari pendapat Imam Ahmad rh pula:
Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).”
Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji.
3. Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qada puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda).
Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.
Puasa Sunat Zulhijjah
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah).
Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.
Hadis riwayat Ibni Abbas: Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”
Hari Yang Diharamkan Berpuasa
1. Berpuasa pada Hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra:
Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” – Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina:
Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” – Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.
Kelebihan Puasa Arafah
Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya.
Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:
Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu Kathir, yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijah.
Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. - Riwayat Ahmad
Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji.
Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyak solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.
Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. - Riwayat Muslim
Marilah kita semua umat Islam memanfaatkan Hari Arafah ini dengan sebaik mungkin. Amalkanlah puasa sunat pada hari ini dan bacalah doa-doa yang telah dianjurkan, tidak kira di mana kita berada.
Sesungguhnya, doa Hari Arafah ini bukan sahaja baik dibaca oleh mereka yang mengerjakan ibadat Haji pada hari Arafah, tetapi disunatkan juga kepada seluruh Umat Muslim di seluruh dunia walaupun tidak berada di Padang Arafah.
Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami, dan seandainya Engkau tidak mengampuni kami dan mengasihani kami nescaya kami mesti akan menjadi golongan orang-orang yang rugi.
Ya Allah Ya Tuhan Kami, ampunilah dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami serta peliharalah kami dari segala keburukan.
Semoga Allah SWT kabulkan segala hajat kita dan ahli keluarga kita sekalian dan diberikan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT kepada kita semua dengan apa yang terbaik di sisi Allah SWT
sumber : akuislam
0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!