Hukum Solat Jenazah
Solat jenazah adalah FARDHU KIFAYAH dan solat jenzah juga HARUS DISEGERAKAN.
Hukum Solat Jenazah adalah Fardhu Kifayah, bermaksud ianya wajib ke atas umat Islam asalkan ada yang melakukannya. Ini bermaksud, apabila sebahagian umat Islam telah melakukannya, maka kewajiban terhadap umat Islam yang lain pun turut gugur. Sebaliknya kalau tiada sesiapa yang melakukannya, maka semuanya akan berdosa.
Sabda Rasulullah SAW
Ertinya: “Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu.”(Riwayat Ibn Majah)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Salamah bin Al-Akwa’, katanya:
Ertinya: “Pada satu ketika kami sedang duduk dekat Nabi SAW ketika dibawa seorang jenazah, Baginda bersabda: Sembahyangkanlah sahabat kamu itu.”(Riwayat Bukhari)
Baca Juga : Panduan Solat Jamak sekiranya anda bermusafir.
Syarat-Syarat Solat Jenazah
1. Syarat-syarat Solat Jenazah serupa juga dengan syarat-syarat solat yang lain seperti menutup aurat, bersih badan dan pakaian daripada najis dan menghadap kiblat.
2. Jenazah itu telah dimandikan dan dikafankan.
3. Jenazah itu hendaklah diletakkan di hadapan jemaah (di sebelah kiblat) kecuali Solat Jenazah ghaib.
Niat, Doa, Rukun dan Cara Solat Jenazah Ringkas
Salah satu tanda kasih sayang dan kecintaan seseorang itu kepada si mati ialah solat ke atasnya. Solat jenazah dituntut kepada kaum lelaki dan perempuan. Solat jenazah mempunyai kelebihan yang besar kepada yang melakukan solat dan kepada si mati yang disolatkan.
Firman Allah SWT
Maksudnya: Dan bagi setiap umat (manusia) mempunyai ajal. Apabila sampai ajal maut seseorang maka manusia tidak berupaya menunda mahupun mempercepatkan, walau sesaat pun. – Surah al A’raf 7: 34
Perkara Sunat Wajar Dilakukan Pada Simati
Para ulamak berpendapat bahawa hukum menguruskan jenazah adalah fardu kifayah ke atas semua orang Islam jika terdapat kematian di kawasan mereka.
1. Memejamkan kedua-dua matanya dan mengikat kedua-dua rahangnya dengan kain supaya mulutnya tidak terbuka.
Ketika Nabi Muhammad SAW masuk menemui Abu Salamah, dia berada dalam keadaan matanya terbuka, lalu Baginda menutupnya. – Hadis Riwayat Muslim
2. Melembutkan tulang-tulang sendinya dan dikembalikan setiap sendi ditempatnya.
3. Meletakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya supaya ia tidak kembung hingga menjadikannya kelihatan buruk.
4. Disunatkan menanggalkan seluruh pakaiannya dan menutupnya dengan kain nipis.
Kewajiban Orang Hidup Terhadap Jenazah
- Memandikan jenazah
- Mengkafankan jenazah
- Menyembahyangkan jenazah
- Mengebumikan jenazah
Kelebihan Solat Jenazah
Waktu solat jenazah adalah harus pada setiap waktu, dan tidak makruh pada waktu-waktu yang diharamkan solat kerana ia mempunyai sebab. Walaubagaimanapun, makruh jika sengaja memilih di dalam waktu-waktu tersebut. Yang tidak makruh adalah jika ianya berlaku secara tidak sengaja.
Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ‘Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga dia solat, maka baginya satu qirat, dan sesiapa yang menghadiri sehingga jenazah itu dikebumikan maka baginya dua qirat.’ Dikatakan, ‘Apa itu qirat?’ Jawab Baginda, ‘Seperti dua bukit yang besar.’ – Hadis Riwayat Bukhari
Baca : buah tangan untuk orang meninggal
Hukum Solat Jenazah
Mazhab As Shafie meletakkan solat jenazah sebagai wajib fardu kifayah. Sekurang-kurangnya, bilangan bagi orang yang menunaikan solat jenazah adalah seorang. Namun, solat jenazah secara berjemaah adalah lebih afdal dan lebih ramai adalah lebih afdal.
Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda, maksudnya: Tiada daripada satu mayat yang disolatkan ke atasnya satu umat dari kalangan orang Islam, bilangan mereka sampai 100 orang, semuanya mensyafaatkan baginya, kecuali mereka diberi syafaat pada orang lain. (Allah SWT menerima syafaat mereka untuk mayat). – Hadis Riwayat Muslim
Jenazah Rasulullah disolatkan oleh para Sahabat dan mereka melakukan sendiri-sendiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh hadis.
Daripada Bahz, bahawasanya dia menghadiri solat (jenazah) ke atas Rasulullah SAW. Para sahabat bertanya: ‘Bagaimana kami solat jenazah ke atas Baginda?’ Jawabnya, ‘Kamu hendaklah masuk, sekumpulan-sekumpulan.’ Katanya,’Mereka masuk dari pintu ini, lalu mereka solat ke atasnya, kemudian keluar dari pintu yang lain.’. – Hadis Riwayat Ahmad
Bahawa Rasulullah SAW wafat pada hari isnin dan dikebumikan pada hari selasa dan orang ramai solat jenazah sendiri-sendiri, mereka tidak diimamkan oleh seseorang pun – Hadis Riwayat Imam Malik
Para ulama ada menerangkan punca mengapa para sahabat solat ke atas jenazah Rasulullah sendiri-sendiri. Kata Imam Asy Syafie, Orang ramai solat ke atas (jenazah) Rasulullah SAW sekumpulan-sekumpulan tetapi mereka tidak diimamkan oleh seseorang pun. Ini disebabkan keagungan Rasulullah SAW dan mereka bersungguh-sungguh supaya tiada seseorang pun menjadi imam solat ke atas Baginda.
Rukun Solat Jenazah
- Niat beserta dengan takbiratulihram
- Berdiri bagi sesiapa yang mampu
- Bertakbir dengan 4 kali takbir termasuk takbiratulihram yang disertakan bersama niat
- Membaca Surah al Fatihah selepas takbiratulihram
- Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW selepas takbir kedua
- Berdoa untuk jenazah yang disembahyangkan selepas takbir yang ketiga dan keempat.
- Memberi salam
- Solat jenazah kendaklah dilakukan selepas jenazah selesai dimandikan.
Cara Solat Jenazah
1. Berniat dan takbiratulihram serentak dengan meniatkan dalam hati solat jenazah berdasarkan jenazah yang hendak disembahyangkan sama ada lelaki atau perempuan. Lafaz niat solat jenazah adalah seperti berikut:-
Lafaz niat solat jenazah mayat perempuan
أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala
Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki
أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala
Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan
أُصَلِّى عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala
Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak Lelaki
أُصَلِّى عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala
Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan
أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala
Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan
أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah taala
2. Takbir Pertama (Takbiratul Ihram). Mengangkat takbir pertama berseerta dengan niat di dalam hati dan diteruskan membac surah Al-Fatihah:
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (١) الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢) الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ (٣) مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (٥) اهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ (٦) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ (٧)
3. Takbir untuk kali kedua ‘Allahu Akhbar’ dengan mengangkat tangan ke telinga kemudian meletakkannya kembali ke badan. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti berikut:
اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ
Ya Allah berikanlah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W, dan ke atas keluarganya. S.A.W
4. Takbir Ketiga. Takbir untuk kali ketiga ‘Allahu Akhbar’ dengan mengangkat tangan ke telinga kemudian meletakkannya kembali ke badan. Membaca doa untuk jenazah
Lelaki: أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Perempuan: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا
Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan dan maafkan kesalahannya.
*Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat.
5. Takbir Keempat. Selepas membaca doa ditakbir yang ketiga, hendaklah diiringi dengan takbir yang keempat pula dan membaca doa.
Lelaki: أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ
Perempuan: اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهَا وَ اغْفِرْ لَنَا وَلَهَا
Ya Allah, janganlah engkau menutup-nutupi pahala mayat ini kepada kami dan janganlah diberikan fitnah kepada kami setelah kami meninggalkan mayat tersebut, ampunilah kami dan ampunilah dia.
6. Memberi Salam ke kanan dan ke kiri. Bacaan sesudah salam:
1. Surah Al-Ikhlas 3 kali.
2. Surah Al-Falaq 1 kali.
3. Surah An-Nas 1 kali.
4. Surah Al-Fatihah 1 kali.
5. Surah Al-Baqarah 1-5.
6. Surah Kursi 1 kali.
7. Doa yang sesuai.
Penutup
Sebagai seorang Muslim, adalah sebaik-baiknya kita mempelajari cara mengerjakan solat jenazah kerana kelak suatu hari nanti apabila ibu bapa mahupun adik beradik atau ahli keluarga serta sahabat handai kita meninggal dunia, kita boleh melakukan solat jenazah buat kali terakhir atas dasar kasih dan penghormatan terakhir buatnya.
Menjadi satu kebanggaan bila si anak mampu menjadi imam solat jenazah kepada jenazah orang tuanya atau ahli keluarganya tanpa dipaksa dan penuh keikhlasan.
Hendaklah kita bersiap sedia dan semoga kita akan sentiasa mengingati akan kematian yang pasti tiba buat sesiapa saja tanpa mengira masa.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
sumber : siraplimau
0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!