Negeri Johor mempunyai banyak pilihan dan lengkap dengan lokasi menarik antaranya pantai, pulau, taman tema, taman negara, pusat membeli belah dan banyak lagi. Jom kita terokai 30 tempat menarik di Johor yang cukup popular untuk anda seisi keluarga mahupun bersama kawan atau mungkin untuk berbulan madu dengan orang tersayang.
Johor
Johor juga dikenali secara rasminya sebagai Johor Darul Ta'zim, atau secara tidak rasmi Kesultanan Johor Moden, merupakan sebuah negeri di selatan Semenanjung Malaysia. Johor Bahru yang terletak berhadapan dengan negara jiran berperanan sebagai ibu negeri dan pusat kegiatan ekonomi utama negeri ini, Kota Iskandar ialah pusat pentadbiran kerajaan negeri yang baharu, dan Muar berfungsi sebagai bandar diraja yang diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim. Ibu negeri lama ialah Johor Lama sepanjang dinasti kesultanan Johor klasik. Menurut bancian setakat tahun 2015, jumlah penduduk negeri Johor ialah 3,553,600.
Johor mempunyai kepelbagaian hutan hujan tropika serta beriklim khatulistiwa. Rupa bentuk muka bumi fizikal Johor secara amnya adalah rata, dan kawasan tanah tinggi negeri ini terdiri daripada gugusan-gugusan inselberg dan massif oleh kerana lokasinya yang terletak di kaki bukit selatan Banjaran Tanah Sari yang meliputi dari selatan Myanmar dan Thailand, dengan Gunung Ledang sebagai titik tertinggi di negeri tersebut.
Johor terkenal sebagai negeri perindustrian, pertanian pertanian utama di negeri ini ialah ladang kelapa sawit, ladang getah
Negeri Johor mempunyai banyak tarikan pelancongan, terutamanya:
- Desaru: Memiliki pantai-pantai yang cantik dan permai serta padang golf di pantai yang menghadap Laut China Selatan
- Johor Bahru: Merupakan pusat membeli-belah, mempunyai gedung-gedung membeli-belah yang banyak di sekitar bandaraya dan taman-taman tema yang bertaraf dunia seperti Legoland Malaysia, Puteri Harbour Family Theme Park, Angry Birds Activity Park Johor Bahru, KSL Dinosaur Water Park in Joho, dan Austin Water Park
- Kota Tinggi: Meyimpan banyak tinggalan sejarah dan mempunyai air terjun yang ketinggianya 34 meter.
- Kukup: Merupakan sebuah kampung nelayan dengan restoran-restoran makanan laut yang dibina diatas laut dan mempunyai sebuah jeti di Serkat untuk ke Tanjung Balai dan Kota Batam di Indonesia
- Muar: Sebuah Bandar Di-Raja yang cantik di tebing Sungai Muar dan nikmatilah keindahan Bandar Di-Raja ini dengan menelusuri Sungai Muar dengan menaiki bot pelancong di Tanjung Emas.
- Tanjung Piai: Merupakan tanah yang paling selatan atau yang paling hujung di benua Asia.
- Gunung Ledang: Merupakan puncak yang tertinggi (1276m) di Negeri Johor dan air terjun yang mendamaikan di kaki gunung.
- Mersing: Mempunyai lebih 7 pulau-pulau yang cantik dan pantai berpasir yang menawan, sangat sesuai untuk akitiviti bersama keluarga di hujung minggu atau cuti umum.
- Kulai: Daerah Kulai menjadi pintu masuk utama ke negeri Johor oleh para pelancong yang menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (Senai Airport) yang terletak di Senai. Johor Premium Outlets merupakan pusat beli-belah yang utama di Iskandar Malaysia terletak di Daerah Kulai. Johor Premium Outlets merupakan premium outlets yang pertama dibina di Asia Tenggara. Johor Premium Outlets dibuka secara rasmi pada 11 Disember 2011.
- Ayer Hitam: Terkenal dengan tempat membeli-belah barangan tembikar, kraftangan, pasu, patung mainan dan macam-macam lagi. Selain tu, Ayer Hitam juga popular dengan pusat menjual barangan perkahwinan sepertimana yang terdapat di Nilai 3, Negeri Sembilan
Terdapat banyak pilihan penginapan di Johor samaada yang bajet ataupun resort tepi pantai yang menarik. Antara pantai paling popular yang paling menjadi tumpuan pelancong adalah di Pantai Desaru. Terdapat beberapa resort & hotel yang menarik di sini untuk anda bermalam dan sesuai untuk dijadikan destinasi percutian. Teruskan membaca.
Makanan Popular Johor
Antara hidangan dan makanan yang menjadi lambang negeri Johor adalah seperti:
- Mi Bandung Muar
- Otak-Otak
- Laksa Johor : makanan yang berasal dari Johor. Ianya berbeza dari laksa Pulau Pinang kerana menggunakan santan kelapa untuk kuahnya. Mi Laksa yang digunakan berbentuk spagheti.
- Nasi Beringin : berasal dari Muar. Mi bandung :juga masakan yang berasal dari negeri Johor dan amat terkenal di Muar. Perkataan ‘bandung’ tidak berasal dari Bandung, Indonesia tetapi membawa maksud pelbagai bahan-bahan yang disatukan dari pelbagai rencah. Kebiasaanya mi bandung ini diletakkan udang kering bagi menaikkan aroma dan rasa.
- Mi rebus :ialah makanan terkenal yang terkandung mi yang di celur dan di hidangkan bersama kuahnya tersendiri, telur rebus dan bahan sampingan.
- Telur Pindang : amat popular di majlis-majlis perkahwinan. Telur pindang ini ialah telur ayam yang di rebus selama beberapa jam bersama-sama rempah dan daun-daun.
- Roti Kirai/Roti Jala :Nama ini bersesuaian dengan rupanya yang seakan jala. Ianya di buat daripada adunan tepung dengan menggukan bekas acuan yang berlubang dan di masak di kuali leper. Kari ataupun serawa (santan yang di masak bersama gula merah/melaka dan daun pandan) menjadi sos yang dimakan bersama.
- Otak-otak :Antara otak-otak yang terkenal ialah ‘otak-otak Kempas’ dan ‘otak-otak Gelang Patah’.
- Nasi beriani Gam:Amat terkenal di daerah Batu Pahat. Makanan ini dipengaruhi oleh India kerana terdapat kisah seorang India Muslim telah memperkenalkan masakan ini dan akhirnya menjadi makanan tradisional negeri ini pada awal 1900 M.
- Soto: Boleh dimakan dengan mee mahupun nasi empet yang disertai dengan kuah sup dan sambal kicap. Asalnya boleh diruntut hingga ke Indonesia
- Burasak:sejenis makanan orang-orang Bugis. Beras yang di bungkus dengan menggunakan daun pusang muda dan di masak besama santan. Boleh di dapati pada hari perayaan samada hari raya puasa atau hari raya korban.
- Nasi Ambeng : Pengaruh masakan Jawa sangat kuat dan juga banyak menyumbang kepada masakan Johor. Antaranya nasi ambeng, lontong dan ungkep. Nasi ambeng adalah nasi yang dihidangkan ketika majlis yasin ataupun tahlil. Hidangan ini biasanya di sediakan untuk empat orang yang akan makan di dalam satu hidangan yang sama di mana terdapat campuran lauk termasuk serunding kelapa, mi, iakan kering dan sebagainya.
- Halwa Maskat : Makanan ini dipercayai merupakan hidangan pencuci mulut yang berasal dari Oman, dan turut menjadi tradisi Masyarakat Banjar. Manisan ini diperbuat daripada tepung yang dibasuh dan ditapis untuk mendapatkan pati tepung sebelum di peram selama 3 hari sebelum di masak di atas dapur, ia digaulkan bersama minyak sapi dan kismis, hidangan ini sangat rumit disediakan tetapi sangat unik dan sedap dimakan, ia sangat sukar ditemui kini kerana kerumitan membuatnya dan tiada lagi generasi kini yang ingin belajar membuat hidangan ini.
- Kerutup Ikan
- Asam pedas daun kesum
- Pecal
- Tauhu bakar
- Pendaram
- Rojak petis
- Air Katira
- Kacang pol
- Wajik Sirat
- Pisang Salai
- Lontong
- Botok-botok
- Rojak Asma
- Tidak ketinggalan juga, bontrot/berkat yang datangnya dari bahasa Jawa yang membawa maksud nasi yang dibungkus atau di sediakan bagi tetamu untuk di bawa pulang apabila menghadiri majlis (perkahwinan, yasin atau tahlil).
sumber : wikipedia
30 Tempat Menarik Di Johor Bharu
1. Bazaar Johor (Bazaar Karat)
Bazar Johor atau dikenali sebagai Bazar Karat yang beroperasi di waktu malam ini terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru berhampiran dengan City Square Mall. Bazar ini meriah dipenuhi dengan gerai-gerai pakaian, perhiasan, barangan antik, kasut, stokin, tali pinggang, peralatan rumah dan juga makanan jalanan. Sambil-sambil shopping boleh juga melihat persembahan busker-busker yang tidak jemu menghiburkan pengunjung di sini.
Memandangkan istilah “karat” itu sendiri merujuk kepada barangan terpakai dan vintaj, kebanyakan barangan yang dijual di sini ialah barangan murah dari China dan negara-negara Asia Tenggara
2. Johor Premium Outlet (JPO)
Jangan lupa singgah ke JPO kalau anda ke Johor, antara tempat menarik untuk shopping terletak di Kulai, Johor dan bersebelahan dengan highway Utara-Selatan. Shopping mall ini menempatkan banyak lot kedai yang menjual pakaian berjenama seperti LV, Couch, Adidas dan sebagainya.
Golongan muda terutama kaum wanita pasti suka ke singgah ke sini ketika ada sales seperti waktu hujung ketika Year End Sales untuk menambah koleksi bag tangan berjenma yang diberikan potonga harga yang lebih murah.
3. Zoo Johor (Johor Safari Park)
Zoo Johor merupakan sebuah zoo mini yang terletak berdekatan dengan Masjid Abu Bakar ini merupakan salah satu zoo yang tertua di Malaysia yang dibina pada tahun 1928. Terdapat lebih 100 spesis haiwan dalam dan luar negara termasuk spesis yang terancam kepupusan seperti singa, buaya, harimau, unta, badak air & banyak lagi.
Ada beberapa haiwan yang jinak yang pengunjung boleh berinteraksi secara langsung seperti unta, rusa & burung kasawari. Makanan untuk haiwan-haiwan jinak ini ada dijual pada harga yang sangat murah sekitar RM 2-3 sahaja. Satu tempat menarik di Johor Bahru yang wajib dimasukkan di dalam jadual perjalanan anda apabila bercuti di JB kelak.
Zoo ini sesuai untuk dikunjungi sekitar jam 9 pagi hingga 11 pagi supaya anda dapat melihat haiwan nokturnal yang mungkin masih berjaga. Kebiasaannya, haiwan nokturnal akan bergiat dengan cergas pada sebelah malam dan tidur pada waktu siang. Di samping itu, pengunjung, terutamanya kanak-kanak digalakkan untuk memberi makan kepada rusa dan unta yang ceria dan mesra.
Nota : Zoo Johor ditutup sementara waktu hingga pemberitahuan kelak
Baca : Zoo Negara
4. Pantai Desaru
Sekiranya anda seorang yang mabuk laut kalau naik bot untuk bercuti di pulau sekitar Johor, apa kata bawa keluarga bercuti di Pantai Desaru, Kota Tinggi. Pantai Desaru merupakan antara pantai peranginan di Johor yang menarik & popular di kalangan pelancong tempatan & pelancong dari Singapura. Sekitar Pantai Desaru terdapat beberapa pilihan resort menarik yang sesuai untuk percutian bersama keluarga.
Antara penginapan yang paling ideal di Pantai Desau untuk anda bercuti bersama keluarga & anak-anak adalah di Lotus Desaru Beach Resort & Spa kerana terdapat taman tema air khas untuk pengunjung yang menginap di sini. Anak-anak kecil anda pasti suka. Untuk aktiviti tepi pantai, Pantai Desaru juga menawarkan beberapa aktiviti menarik tepi pantai untuk dilakukan pelancong seperti main jetski, parasailing, banana bot, boat ride & menaiki kereta kuda.
Sekiranya anda menginginkan meluangkan masa dengan ahli keluarga ataupun mencuba sebuah pengembaraan yang tidak memerlukan perancangan, Pantai Desaru adalah salah satu tempat percutian yang cukup sempurna. Tempat menarik di Johor Bahru ini mempunyai laut yang jernih dan udara yang segar. Anda juga boleh menemui gerai dan kedai di tepi pantai yang menjual minuman, aiskrim dan makanan ringan.
Bagi penggemar aktiviti luar, anda boleh menikmati aktiviti bot dan jet ski ataupun menyewa gelung bola jaring untuk perlawanan persahabatan sesama rakan anda. Jika anda lebih cenderung untuk bersantai sahaja, Pantai Desaru juga dilengkapi dengan gazebo dengan tempat BBQ dan pokok rendang yang menjadikan tempat itu sesuai untuk berkelah dan parti BBQ.
5. Taman Negara Endau-Rompin
Merupakan taman hutan lipur atau hutan simpan yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Taman Negara di Pahang. Taman negara yang terletak bersempadanan dengan Negeri Pahang ini kaya dengan flora fauna yang masih terpelihara & pelbagai spesis hidupan liar yang samakin pupus masih wujud di sini seperti Badak Sumbu Sumatera.
Mempunyai 2 pintu masuk ke Taman Negara iaitu Peta di Kahang, Kluang & Selai di Bekok , Segamat. Destinasi ini semestinya menawarkan pelbagai aktiviti yang lebih mendekatkan diri kepada alam semulajadi & sesuai untuk dijadikan destinasi lawatan pihak institusi atau badan korporat secara berkumpulan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah night walk, night track, meredah hutan, water tubing, mandi air terjun & sebagainya.
Kalau bercuti di Johor Bahru dengan anak-anak tetapi tak melawat taman tema ini, bukan bercuti di Johor namanya. Pastikan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, anda perlu membawa anak-anak untuk masa riang-ria mereka yang semestinya akan menjadi memori indah untuk dibawa pulang ke rumah.
6. Taman Negara Tanjung Piai
Merupakan taman paya bakau yang kaya dengan tumbuhan dan hidupan yang sinonim dengan kawasan paya bakau. Di sini terdapat platform kayu yang dibina untuk memudahkan pengunjung berjalan penghujungnya & terletak di tepi laut. Titik penghunjung platform ini merupakan kawasan yang paling selatan di Semenanjung Malaysia & juga Benua Asia.
Baca : Gunung Banang di Batu Pahat
7. Taman Herba Nasuha (Nasuha Herbs & Spice Farm)
Kalau anda bercuti di Muar, Johor jangan lepaskan peluang untuk singgah di Taman Herba Nasuha untuk beberapa aktiviti menarik yang boleh anda lakukan. Seperti namanya, Taman Herba Nasuha menempatkan pelbagai jenis tumbuhan herba yang ditanam secara komersial & terdapat lebih 150 spesis tumbuhan herba di sini yang eksotik yang boleh pengunjung terokai. Sudah tentu, anda boleh mendapatkan produk herba yang segar untuk dibawa pulang sebagai bekalan segar di dapur anda ataupun mungkin sebagai buah tangan untuk jiran tetangga.
Di sini juga terdapat sebuah restoran yang unik penampilannya dengan deko-deko yang pasti membuatkan pengunjung kagum. Yang lebih best, menu juadah makanan tempatan yang disediakan untuk makan tengahari majoritinya menggunakan herba-herba yang diambil terus dari ladang. Anda boleh cuba minuman herba yang menyihatkan & signature menu di sini pula iaitu nasi beriyani kambing adalah satu kemestian untuk anda makan ketika waktu lunch. Nasuha Herbs turut menyediakan penginapan, pakej-pakej aktiviti outdoor seperti jungle trekking, berkayak, berakit & sebagainya.
8. Kluang Coffee Powder Factory
Kluang, Johor sangat terkenal dengan kopinya. Kalau anda penggemar kopi & nak menerokai lagi tentang dunia kopi ini, apa kata ke Kilang Serbuk Kopi Kluang ini untuk belajar cara-cara pembuatan kopi yang berkualiti. Pengunjung yang datang akan ditunjuk ajar oleh staff di sini tentang perbezaan biji-biji kopi yang memberi jenis kopi yang berbeza & aroma harum yang sangat wangi.
Macam-macam bijian kopi mentah yang ada di sini seperti Kopi Robusta (Robusta Coffee), Kopi Arabika (Arabica Coffee), Kopi Liberika (Liberica Coffee) & sebagainya. Pengunjung juga boleh merasai pelbagai kopi segar yang ada di sini. Satu pengalaman yang menarik untuk dirasai & jangan lupa untuk beli kopi-kopi di sini untuk dibawa pulang sebagai buah tangan istimewa untuk orang di rumah.
9. Puteri Harbour Indoor Theme Park
Terletak di Nusajaya, JB dan hanya beberapa minit dari Legoland Resort. Merupakan taman tema indoor yang khas untuk kanak-kanak yang terdiri darpada 2 tarikan taman tema utama iaitu Sanrio Hello Kitty Town & Thomas Town. Di sini juga terdapat sebuah restoran yang bertemakan imaginasi kanak-kanak iaitu Lat’s Place. Satu tempat menarik di Johor Bahru yang sesuai untuk menghabiskan masa dengan anak-anak sambil-sambil makan.
10. Taman Negara Pulau Kukup
Taman Negara Pulau Kukup merupakan hutan bakau yang kedua terbesar di dunia & merupakan tempat menarik di Pontian, Johor yang paling ideal untuk aktiviti rekreasi di kawasan flora fauna. Menempatkan pelbagai jenis flora & fauna termasuk monyet, pelbagai spesis ikan seperti ikan tembakul, pelbagai spesis burung-burung & pelbagai spesis pokok bakau yang boleh pengunjung saksikan hanya daripada platform jalan kaki yang disediakan di sini.
Pulau Kukup terletak 1 km dari tanah besar & untuk ke sini pelancong perlu menaiki bot menyusuri Sungai Ular dengan bayaran RM 5 sahaja. Pulau Kukup National Park ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi lawatan sambil belajar di Johor oleh sekolah atau pun institusi pendidikan untuk mendidik pelajar tentang ekosistem hutan bakau di Malaysia.
11. Laman Mahkota Istana Bukit Serene
Kalau anda melancong ke Johor Bahru bersama keluarga jangan lepaskan peluang untuk datang ke sini pada waktu malam untuk sesi bergambar sebagai kenangan. Destinasi ini sering menjadi tumpuan pelancong untuk santai melihat pemandangan istana & landskap yang cantik terutamanya pada waktu malam kerana lebih warna warni & cantik.
Di sekitar persiaran ini terletaknya mercu tanda binaan mahkota yang sering menjadi lokasi feveret pelancong untuk ‘selfie’. Melihat kemewahan binaan , keindahan & betapa besarnya Istana Bukit Serene pasti membuatkan sesiapa yang pertama kali ke sini terasa sangat teruja.
12. Masjid Sultan Abu Bakar
Sekiranya anda cikgu sekolah yang membawa pelajar buat lawatan sambil belajar di Johor, jangan lupa untuk singgah di salah satu tempat bersejarah di Johor yang sangat ikonik & mempunyai warisan nilai sejarahnya yang tersendiri. Masjid Sultan Abu Bakar yang sudah wujud sejak 1982 ini merupakan masjid yang besar & selesa untuk beribadah oleh para jemaah.
Terletak di atas puncak bukit membolehkan pengunjung melihat keindahan sekeliling termasuk dengan Selat Tebrau. Masjid Sultan Abu Bakar mempunyai ciri-ciri binaan yang dipengaruhi ketika era penjajahan satu masa dahulu bercampuran dengan pengaruh seni binaan tempatan.
13. Bangunan Sultan Ibrahim
Bangunan Sultan Ibrahim merupakan mercu tanda bersejarah dan salah satu tempat menarik di Johor Bahru yang harus dilawati. Struktur bangunan gergasi ini menggabungkan seni bina serta reka bentuk kolonial dan Melayu yang menyerupai sebuah mahligai dari jauh. Bangunan Sultan Ibrahim juga diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di Tanah Melayu sebelum merdeka. Ia pernah berfungsi sebagai pusat kubu dan perintah untuk Tentera Empayar Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun anda tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan bangunan ini, anda masih dapat mengaguminya dari luar dan mengambil gambar.
14. Taman Rekreasi Tanjung Emas
Destinasi riadah popular ini terletak berdekatan dengan tebing muara Sungai Muar di mana airnya bertembung dengan Laut Selat Melaka. Terdapat kemudahan awam untuk pengunjung seperti laluan jogging, playground, tandas awam, masjid, foodcourt & juga jeti untuk pengunjung yang ingin melihat keindahan Sungai Muar & Bandar Muar dengan river cruise. Satu tempat menarik di Muar yang santai & menenangkan untuk anda kunjungi pada waktu petang bersama anak-anak. Suasana di sini sangat cantik untuk anda bergambar sambil melihat matahari terbenam di ufuk barat.
Beralih kepada tempat menarik di Muar, jika anda berada di sekitar bandar Muar, anda boleh mulakan dengan berkunjung ke Taman Tanjung Emas. Sebuah taman rekreasi yang terletak di muara sungai Muar, pengunjung yang dapat menikmati pemandangan laut Selat Melaka.
Replika durian gergasi (replika kebiasaan di sekitar bandar utama di negeri Johor) akan menyambut para pengunjung apabila mereka tiba di taman tersebut. Di sini terdapat sebuah medan selera yang menyajikan hidangan asam pedas yang sangat enak.
Pengunjung juga dapat melakukan aktiviti riadah kerana pelbagai peralatan riadah disediakan di samping kemudahan awam yang lain. Persekitaran taman yang bersih dan nyaman ini amat sesuai untuk aktiviti keluarga pada hujung minggu atau riadah petang.
Alamat: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar
15. Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang
Satu tempat percutian di Johor yang sangat popular di kalangan pencinta alam & sesuai untuk pelancong yang ingin mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Destinasi Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang sangat ideal untuk mereka yang nak bermalam di kawasan yang dikelilingi flora & fauna sambil melakukan aktiviti-aktiviti menarik seperti mandi air terjun, mendaki gunung & berbasikal menyelusuri hutan di sekeliling. Sesuai untuk dijadikan destinasi berkumpulan bagi event korporat, hari keluarga atau kem bina semangat. Terdapat banyak pilihan resort ekonomi di sini & chalet bajet untuk pelancong menginap.
16. Desaru Fruit Farm
Sekiranya anda menginap di resort sekitar Pantai Desaru, apa kata bawa anak-anak ke Desaru Fruits Farm yang menempatkan pelbagai jenis pokok buah-buahan tempatan yang sangat bagus untuk menambah ilmu pengetahuan pada cuti sekolah. Bagi yang sukakan aktiviti yang lebih lasak, boleh ambil pakej dengan menunggang ATV sambil ditemani seorang guide yang akan menerangkan informasi menarik tentang pokok-pokok buah di ladang. Di sini juga ada restoran yang menawaran buffet lunch yang tidak kurang menariknya. Ladang Buah Desaru ini juga sering menjadi lokasi badan korporat untuk adakan aktiviti hari keluarga kerana mempunyai kawasan paint ball & juga go kart.
17. Pantai Stulang Laut
Pantai Stulang Laut merupakan satu destinasi yang sangat popular di kalangan orang setempat untuk beberapa aktiviti menarik seperti makan-makan seafood yang murah, shopping barangan bebas cukai di Zone Bebas Cukai Stulang & bersantai di tepi laut pada waktu petang atau malam melihat keindahan bandaraya Singapura di seberang selat. Kawasan Pantai Stulang Laut terdapat beberapa penginapan menarik seperti Zone Regency Hotel, Berjaya Waterforn Hotel, Suria City Hotel, Blue Wave Hotel & sebagainya.
Pantai Stulang Laut sememangnya satu pantai menarik di Johor yang ideal untuk dijadikan tempat menginap kerana lokasinya strategik & nak cari makanan Johor yang best pun senang. Medan Selera Stulang yang ada di sini memang sangat meriah dengan pelbagai pilihan menu makanan orang setempat & juga masakan panas Thai pada harga yang berpatutan.
18. Penggaram Square Batu Pahat
Satu destinasi yang sangat ikonik di Batu Pahat yang sangat meriah dengan kunjungan orang setempat terutamanya pada hujung minggu & cuti sekolah. Dataran ini menempatkan padang & kawasan jalan kaki untuk riadah pada waktu pagi. Pada waktu malam, suasana di sini memang happening & sangat cantik dengan hiasan lampu warna-warni yang melimpahi kawasan Dataran Penggaram Batu Pahat.
Terdapat juga pasar malam yang mana pengunjung boleh membeli cenderahati atau sekadar bersiar-siar bersama keluarga untuk melihat suasana meriah di sini. Sesuai untuk pelancong yang bercuti di Batu Pahat untuk habiskan masa berkualiti bersama keluarga secara santai sambil mencari makan malam di sekitar dataran ini.
19. Puteri Harbour Marina
Di sini terdapat pelabuhan untuk kapal-kapal layar mewah persendirian yang boleh anda datang untuk bergambar bersama keluarga. Kawasan ini lebih kepada tempat untuk santai-santai melihat keindahan kawasan sekitar & ada beberapa mercu atau replika yang sering menjadi subjek menarik untuk selfie untuk dijadikan kenang-kenangan sebagai bukti bercuti di Johor.
Mungkin setelah penat membawa anak bermain di Puteri Harbour Theme Park yang berdekatan, bolehlah pula bawa anak-anak ke sini untuk melihat sendiri keunikan kapal layar & pemandangan Selat Tebrau.
20. Taman Merdeka Johor Bahru
Sekiranya anda sudah penat lawati tempat menarik di Johor Bahru yang moden, apa kata ke sini pula untuk aktiviti-aktiviti lebih santai bersama keluarga. Taman Merdeka merupakan satu destinasi taman yang mempunyai landskap yang menarik & terdapat satu kolam yang besar di tengahnya di mana pengunjung boleh memberi makan ikan sambil menenangkan fikiran.
Taman ini juga sering menjadi tempat penduduk setempat untuk beriadah & bersenam baik pagi ataupun petang. Pada waktu malam, taman ini juga masih meriah dengan kunjungan warga setempat untuk bersiar-siar sambil melihat air pancut warna-warni di kolam awam. Ada juga golongan muda mudi yang bermain roller blade.
Antara tujuan tempat menarik di Johor Bahru ini dicipta adalah untuk memperingati dan menghargai tokoh-tokoh pahlawan dan perjuangan mereka untuk kemerdekaan tanah air ini. Oleh hal yang demikian, sejarah ringkas negara Malaysia untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan dipaparkan di sekitar taman ini. Selain itu, pertunjukan air pancut muzikal yang berwarna-warni memberi sebuah pemandangan yang indah dan tenang pada waktu malam.
21. Kolam Air Panas Sungai Gersik
Kalau sudah penat berjalan kaki sehingga lutut & sendi rasa longgar, apa kata manjakan diri anda di Kolam Air Panas Sungai Gersik. Kolam air panas semulajadi ini yang terletak di dalam sebuah perkampungan sangat terkenal di kalangan warga setempat untuk datang berendam bagi tujuan perubatan.
Tersedia maklum, air panas semulajadi sangat bagus untuk kesihatan kulit & juga sendi-sendi selain dapat membantu meningkatkan peredaran darah dalam badan. Kawasan kolamnya bermozek & kemudahan asas seperti tempat mandi, tempat bersalin & surau lengkap tersedia untuk pengunjung. Di sekitar kawasan kolam ini juga ada tempat untuk anda makan-makan makanan popular orang Johor
22. Don Hu Jurassic Park Muar
Anda buntu mana nak bawa anak-anak ke tempat menarik di Muar untuk melihat reaksi muka mereka teruja? Nah, bawa mereka ke Don Hu Jurassic Park Muar yang menempatkan pelbagai replika dinasour yang bergerak yang pasti membuatkan mereka tak senang duduk teruja atau mungkin ‘cuak’ ketakutan. Selain pelbagai replika dinasour yang ada di sini, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti menarik lain seperti bermain bumper car, naik bot & juga membeli cenderahati seperti keychain.
23. Danga Bay
1. Teluk Danga merupakan salah satu destinasi tempat menarik di Johor Bahru yang amat popular dalam kalangan golongan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak kecil. Teluk Danga atau lebih dikenali sebagai Danga Bay, adalah sebuah taman rekreasi yang sesuai untuk kanak-kanak berseronok bersama ibu bapa mereka. Ia mempunyai pesta ria dan pameran hiburan mengikut cara lama yang dilengkapi dengan tunggangan yang terdiri daripada Pirate Ship, Teacups hingga ke Jumping Frog dan Nemo Ride.
Perkara yang paling menarik adalah anda hanya perlu membayar untuk tunggangan pilihan anda sahaja. Bas ulang-alik juga disediakan untuk membawa anda mengelilingi taman, terutamanya pada waktu malam. Selain itu, anda boleh menjamu selera di beberapa kafe dan restoran yang menyajikan pelbagai pilihan makanan dan minuman, termasuk makan malam makanan laut.
24. Legoland
Legoland Malaysia bukan sahaja mengenai model lego, tetapi juga mempunyai banyak aktiviti yang menyeronokkan yang pasti menjadikan perjalanan anda berbaloi. Ia terdiri daripada taman air, taman tema dan akuarium SEA LIFE. Memandangkan Legoland Malaysia hanya dalam jarak pemanduan yang singkat dari pusat bandar Johor Bahru, ini adalah antara tempat menarik di Johor Bahru yang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga anda terutama pada musim cuti sekolah!
Sudah tentu, Legoland Malaysia merupakan destinasi percutian keluarga yang agak sempurna dengan lebih daripada 70 permainan dan tunggangan interaktif, gelongsor, pertunjukan dan tarikan yang bukan sahaja seronok dan mengembarakan tetapi juga memberi pelajaran.
25. Desaru Coast Adventure Water Park
Merupakan taman tema air yang terbaru di Johor yang baru dilancarkan pada 2018. Pelbagai aktiviti keriangan di sini yang sesuai untuk semua golongan samaada kanak-kanak ataupun belia remaja yang inginkan cabaran dengan aktiviti yang lebih membuatkan ‘setiap darah mengalir lebih cepat dari hujung kaki ke hujung kepala’. Banyak tarikan water slide yang bertaraf dunia ada di sini seperti Giant Water Slides, Wild Whirl, Super Twister, Riptide & The Tempest.
Antara tarikan yang paling mencuri tumpuan di sini adalah The Tempest iaitu merupakan gelongsor air dengan penurunan 24 kaki yang pasti menyeronokkan golongan dewasa. Di sini juga menempatkan roller coaster yang akan menurun secara menjunam dari ketinggian 30 meter sebelum menuju laju masuk ke dalam kolam air. Tahukah anda, Wave Pools yang ada di sini juga merupakan antara yang terbesar di dunia. Satu tarikan pelancongan di Johor yang sangat menarik untuk waktu riang ria anda bersama anak-anak untuk dilawati pada hujung minggu atau pun pada cuti sekolah.
26. Ayer Hitam, Batu Pahat
Siapa sahaja yang tidak kenal akan tempat ini. Terkenal dengan kerepeknya yang sedap, Ayer Hitam juga ada menjual kudapan lain seperti dodol, asam, dan pelbagai makanan tradisional yang lain.
Bagi peminat kerepek, anda boleh ke gerai Wak Man di mana anda berpeluang untuk mencuba rasa kerepeknya yang sedap sebelum anda membeli di samping harga yang murah dan servis yang amat baik. Selain itu, bagi peminat tembikar, gerai-gerai di sini ada menjual pelbagai jenis rekaan tembikar yang bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.
27. Kota Tinggi Firefly Park
Ingin tenggelam dalam dunia magikal seperti dikelilingi oleh bintang yang berkerlipan? Anda boleh menikmatinya sekira ke Kota Tinggi Firefly Park.
Di sini, anda sekeluarga berpeluang menaiki bot untuk menyelusuri sungai dan melihat kehadiran kelip-kelip yang banyak berterbangan di sekitar memandangkan Kota Tinggi merupakan kawasan yang cukup terjaga alam semula jadinya.
Namun begitu, Kota Tinggi Firefly Park menetapkan minimum seramai 6 orang untuk sekali trip menyelusuri sungai.
Alamat: Jalan Kota Tinggi, 81900 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi: Bermula Dari Pukul 7.00 am Dalam Jangka Masa 45 Minit
Harga Tiket: Dewasa RM20 | Kanak-Kanak RM12 | Bawah 12 Tahun Percuma
28. Kuso Trick Art Gallery, Johor Bahru
Galeri seni 3D yang terletak agak tersembunyi di Johor Bahru mula dibuka apabila pengasasnya mendapat idea setelah pulang dari pertunjukan 3D di Korea dan China. Sesuai untuk pengunjung yang suka bergambar, galeri ini menawarkan pelbagai lukisan seni yang seakan-akan benar.
Anda boleh bergambar dalam pelbagai gaya di samping menggunakan prop yang anda bagi mendapatkan gambar yang bermutu untuk anda muat naik dalam laman sosial anda.
Terdapat pelbagai tema lukisan di sini antaranya ialah komedi, seram, dan romantik. Para pengunjung akan diberikan taklimat ringkas oleh kakitangan galeri ini sebelum memulakan jelajah mereka.
Alamat: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru
Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Ahad (11:00AM – 08:00PM) | Jumaat & Sabtu (11:00AM – 09:00PM)
Harga Tiket: Dewasa (RM22), Warga Emas: (RM16)
29. Tokong Cina Lama Johor Bahru
Tokong Cina ini adalah salah satu tempat menarik di Johor Bahru yang tertua. Tokong purba berwarna merah terang ini menjadi tarikan pelancong yang terkenal oleh sebab karya seni rumit yang jarang dilihat dalam struktur keagamaan moden. Dua belas haiwan Zodiak Cina digambarkan pada fasad tokong ini.
Selain itu, tokong ini berkhidmat untuk semua komuniti Cina dialek utama, termasuk agama Buddha, Taoisme dan dewa Cina yang lain. Dewa Cina Yuan Tian Shang adalah yang paling disanjungi di tokong ini kerana ia berada di tengah-tengah bangunan. Secara keseluruhannya, tokong yang indah ini mempunyai persekitaran yang tenang dan menghargai budaya dan seni masyarakat Cina.
30. Kuil Hindu Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman
Kuil Hindu yang sungguh istimewa di Malaysia ini mempamerkan seni bina kuil tradisional dari India Selatan dan setiap permukaan kuil ini dilitupi sepenuhnya dengan mozek kaca pelbagai warna dan manik kaca. Patung Gautama Buddha dan Mother Teresa juga terdapat di dalam kuil. Mural yang diperbuat daripada kaca yang mencerminkan didikan nilai keihsanan dan kemanusiaaan seperti peristiwa di mana seorang Muslim dan Kristian sedang menyelamatkan seorang Hindu yang terlibat dalam kemalangan motosikal juga boleh ditemui di kuil ini, salah satu tempat menarik di Johor Bahru yang paling cantik.
Kuil yang menakjubkan ini disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia sebagai kuil kaca yang pertama dan satu-satunya di negara ini pada tahun 2010.
Seperti yang anda boleh lihat, Johor Bahru adalah lebih daripada sebuah ibu negeri yang berkongsi sempadan dengan Singapura. Memandangkan bilangan taman tema, terutamanya Legoland Malaysia, ia adalah salah satu bandar yang paling menarik untuk dikunjungi untuk keluarga dengan kanak-kanak. Dengan begitu banyak pembangunan berterusan di bandar ini berikutan pembangunan pesat, mungkin terdapat lebih banyak tempat menarik di Johor Bahru untuk diterokai pada tahun-tahun akan datang.
2 Comments
Banyak lagi tempat2 menarik tu yang belum sampai
ReplyDeleteBanyak tempat menarik kt Johor ni Kan! Zoo Johor sekarang tengah ditutup, tak sabar nak tunggu dibuka semula..Mungkin next year...Hehe..
ReplyDeleteTerima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!