Teringat waktu di awal perkahwinan dulu, memang umi noob sangat pasal tanda-tanda hamil ni. Mana taknya tak pernah hadapi morning sickness dan untuk 6 kali kehamilan hanya evening sickness, tidak la melepek sangat, cuma muntah dan loya lepas waktu kerja. Bijak sungguh anak-anak dalam perut umi dan sangat baik sekali dengan umi.
Kenali Tanda-Tanda Hamil
Tidak ramai wanita yang sedar mereka hamil terutama mereka yang aktif dan tidak ada tanda-tanda loya atau mengidam nak makan segala macam makanan, cuma mungkin selera tu agak lebih dari biasa. Itu pun susah nak di perkatakan sebab selera kita tu kadang kala tu berubah-ubah.
Mungkin perkongsian dibawah ini dapat membantu anda untuk mengenal pasti apakah anda sedang hamil dengan tanda-tanda yang sering dialami oleh seorang wanita hamil.
Bagaimanapun setiap wanita punya pengalaman dan proses kehamilan yang berbeza dari anak pertama dan seterusnya dan ada beberapa perubahan mungkin sama yang terjadi pada tubuh badan setiap wanita apabila mereka hamil.
Bengkak dan sakit payudara
Lazimnya rasa sakit dan sensitif pada bahagian sekeliling puting (areola), berubah menjadi lebih besar dan gelap disebabkan oleh tindakan hormon progesterone adalah tanda awal yang boleh dikesan.
Payudara akan membengkak kerana tubuh badan anda memerlukan lebih banyak air ketika hamil yang akan menyebabkan tubuh badan terasa kembung.
Sebaiknya anda perlu memakai baju dalam yang sesuai terutamanya ketika melakukan senaman.
Pening kepala
Ada sesetengah wanita mungkin akan mengalami pening kepala hingga boleh menyebabkan pitam. Ini disebabkan oleh perubahan hormon atau tekanan darah yang rendah. Bagi mengelakkan masalah ini, anda perlu makan lebih kerap dalam satu hari.
Perubahan selera makan
Ketika trimester pertama, ada wanita yang mengidam sesuatu makanan yang sukar didapati atau makanan yang dulunya tidak disukainya. Ada yang mengalami perubahan pada deria seperti mual dengan bau suami, bau nasi yang ditanak atau sesuatu yang lebih pelik
Muntah-muntah dan loya
Gejala muntah-muntah atau loya tekak sering berlaku tanpa mengira waktu terutama waktu pagi, namun ada juga yang tidak mengalaminya.
Punca sebenar ini berlaku masih tidak dapat dipastikan namun disyaki berkait rapat dengan perubahan hormon kehamilan.
Kebiasaannya gejala ini akan hilang dengan sendirinya ketika kehamilan mula mencecah sekitar 12 hingga 16 minggu.
Bagi mengurangkan gejala ini, anda perlu makan makanan kaya protein dengan lebih banyak dan kerap selain banyakkan minum air.
Keletihan
Kandungan hormon progesterone bukan sahaja akan menyebabkan payudara menjadi sakit malahan boleh mengakibatkan keletihan ketika trimester yang pertama.
Keletihan ini kebiasaannya akan berlaku satu minggu selepas wanita itu hamil. Oleh itu, anda perlu berehat dengan secukupnya.
Selain itu, makan makanan yang kaya dengan protein dan zat besi untuk mengawal keletihan ini.
Perubahan mood
Adalah normal apabila hormon badan berdepan perubahan, ia juga akan mempengaruhi emosi anda, hinggakan mood swing boleh dianggap sebagai antara simptom mengandung paling sering dialami.
Emosi anda mungkin sukar untuk dikawal dan anda mudah tertekan. Ini disebabkan oleh perubahan neurotransmitter yang berlaku akibat perubahan hormon dalam tubuh badan anda. Perubahan emosi ini kebiasaannya akan dialami ketika trimester pertama dan trimester terakhir ketika badan anda mula bersedia untuk proses kelahiran.
Kerap membuang air kecil
Ini kebiasaannya akan berlaku sekitar 6 atau 8 minggu selepas hamil. Buah pinggang anda mula memproses urin dengan lebih aktif semasa kehamilan.
Rahim anda pula akan memberi lebih tekanan kepada pundi kencing anda yang akan menyebabkan anda lebih kerap terasa ingin membuang air kecil.
Kekejangan dan pendarahan, antara tanda mengandung
Kekejangan dan pendarahan mungkin akan berlaku sebelum waktu anda datang bulan.
Ini merupakan petanda persenyawaan telur anda dengan sperma telah berlaku dan mula melekat pada dinding rahim.
Selain daripada pendarahan, lelehan berwarna putih juga mungkin akan keluar daripada vagina anda.
Lelehan yang tidak berbahaya ini akan terus keluar ketika kehamilan dan tidak memerlukan sebarang rawatan.
Namun jika lelehan tersebut berbau busuk dan menyebabkan rasa sakit dan gatal, segera berhubung dengan doktor untuk memeriksa sama ada anda terinfeksi yis atau bakteria.
Tidak datang haid
Ini merupakan petanda paling jelas yang menunjukkan kehamilan. Namun begitu, tidak semua kes tidak datang atau lambat datang haid disebabkan oleh kehamilan.
Ini mungkin juga disebabkan oleh perubahan hormon, perubahan berat badan, keletihan atau tekanan.
Wanita hamil mungkin akan mengalami kesemua tanda tanda kehamilan ini atau mungkin hanya mengalami beberapa gejala sahaja.
Jika gejala kehamilan ini menjadi satu kebimbangan kepada anda, bebincanglah dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat atau rawatan.
Keputihan
Ada sesetengah wanita mengesan keputihan tebal pada awal kehamilan. Ia biasanya terjadi pada minggu-minggu pertama kehamilan apabila dinding faraj menebal atau mungkin berlaku sepanjang kehamilan.
Jika terdapat bau tidak menyenangkan atau wujud sensasi terbakar dan kegatalan, lakukan pemeriksaan doktor.
Hidung dan gusi berdarah
Kedengaran pelik, tetapi ada wanita mengalami pendarahan hidung atau gusi semasa kehamilan dan ia dianggap sebagai tanda tanda mengandung minggu pertama.
Pendarahan berlaku disebabkan peningkatan tahap hormon dan biasanya terjadi ketika anda sedang menggosok atau flos gigi.
Seri muka & jerawat
Ada wanita yang nampak perubahan pada wajahnya yang lebih berseri atau ditumbuhi jerawat. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan jumlah darah dan tahap hormon yang lebih tinggi. Keadaan tersebut sekali gus mendorong lebih banyak darah melalui saluran darah.
Dalam masa yang sama kelenjar minyak badan juga perlu bekerja lebih masa. Peningkatan aktiviti kelenjar minyak badan akan menjadikan kulit kelihatan berkilau dan kemerahan.
Tekanan darah tinggi
Dalam kebanyakan kes, tekanan darah tinggi atau normal akan turun pada peringkat awal kehamilan.
Keadaan tersebut mungkin mendorong wujudnya rasa pening, kerana saluran darah anda melebar.
Rasa berdebar-debar
Selain daripada mempunyai kaitan dengan penyakit kardiovaskular, rasa berdebar-debar juga merupakan salah satu tanda hamil minggu pertama.
Jumlah isipadu darah anda akan bertambah bagi menampung keperluan janin. Ini akan menyebabkan jantung anda berdegup 25% lebih laju berbanding dengan keadaan biasa.
Pedih ulu hati
Perubahan hormon sewaktu hamil boleh menyebabkan otot sfinkter (bukaan pada hujung esofagus) mengendur.
Perkara ini akan memudahkan pengaliran asid di dalam perut untuk memasuki esofagus yang menyebabkan pedih ulu hati.
Jika anda mengalami keadaan ini, makan dengan bahagian yang kecil secara kerap. Jangan baring selepas makan dan beritahu doktor anda jika simptom tersebut kerap berlaku.
Hidung tersumbat
Peningkatan tahap hormon dan penghasilan darah juga boleh mengakibatkan bahagian selaput lendir pada hidung membengkak, kering dan berdarah dengan mudah.
Ia mungkin menjadi punca hidung tersumbat atau berair.
Sakit belakang
Walaupun sering dianggap gejala kehamilan lewat, namun ia boleh bermula pada peringkat awal mengandung.
Bahkan, ada wanita yang mengalami rasa sakit belakang ini sepanjang kehamilan.
Kaki bengkak
Keadaan bengkak yang terjadi melibatkan kaki dan pergelangan kaki. Biasanya disebabkan oleh tekanan dari rahim yang sedang membesar melambatkan aliran darah vena di kaki.
Sesak nafas
Peningkatan keperluan oksigen tubuh (untuk menyokong tumbesaran janin) boleh menyebabkan sesetengah wanita berasa sesak nafas.
Walau bagaimanapun, simptom ini dikatakan lebih kerap terjadi pada peringkat kehamilan lewat.
Selain penjagaan diri semasa kehamilan, kena tahu sajian berpantang yang baik buat ibu dalam pantang.
Buat Pemeriksaan doktor
Jika anda mengalami sebarang gejala mengandung yang dikongsikan di atas, sebaiknya anda membuat pemeriksaan doktor untuk mengesahkan kehamilan anda.
Ada sesetengah wanita bergelut dengan kemurungan, kesedihan, kegelisahan mahupun tekanan, sebaiknya lakukan pemeriksaan doktor.
Tanda tanda kehamilan yang dikongsi hanyalah sekadar panduan berdasarkan pengalaman sendiri, rakan sekeliling dan orang ramai.
Bagi memastikan kandungan anda sihat dan tidak mengalami sebarang kecacatan, anda perlu mengambil vitamin pranatal dalam usaha mendapatkan nutrien yang secukupnya.
sumber : hellodoktor
0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!