Sujud Sahwi : Panduan Lengkap Cara & Bacaan Sujud Sahwi (Rumi & Jawi)

Lupa, Pelupa Dan Terlupa, sememangnya satu sifat semulajadi manusia yang tidak disengajakan tidak kira apa pun kedudukan atau pada usia berapa sekalipun. Kita juga boleh terlupa ketika bersolat, sama ada meninggalkan rukun atau sunat, atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih. sekiranya ia terjadi, anda boleh melakukan sujud sahwi.




Maksud Sujud Sahwi

Sahwi disini bermaksud lupa atau lalai terhadap sesuatu, atau meninggalkan sesuatu secara tidak sengaja.


Dari segi syarak pula:


Sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan yang dilakukan oleh orang yang bersolat dalam solatnya sama ada dengan sengaja atau terlupa.


Oleh itu, sujud sahwi bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.


Sujud ini merupakan dua sujud tambahan yang dilakukan selepas selesai Tahiyat Akhir dan sebelum memberi salam.


Hukum sujud sahwi?

Hukum sujud sahwi adalah sunat muakkad. Dan tidak terbatal solat jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.


Dalil hukum ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a, katanya:


Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW’


(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat: Bab jika salam pada rakaat kedua atau ketiga, hendaklah sujud)


Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian Baginda bersujud sahwi.

Abdullah r.a menceritakan daripada ibrahim r.a katanya:


Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas baginda memberi salam, kami bertanya “Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab,”Jika berlaku perubahan pasti saya akan maklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.


Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Sahwi

Oleh itu, pensyariatan sujud sahwi adalah pengiktirafan Allah kepada sifat kemanusiaan hambaNya yang pelupa.


Selain itu, ia juga menonjolkan kelebihan mengapa Allah mengutuskan seorang rasul yang bersifat manusia kepada manusia lain sebagai panduan dan bimbingan.


Sekiranya Allah mengutuskan malaikat, sudah tentu manusia tidak dapat mengikutnya.

Bila sebut sujud sahwi, ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mempunyai pemahaman yang mendalam terutama sekali cara sujud sahwi yang betul. Ada yang tertanya-tanya sama ada sujud ini perlu dilakukan selepas selesai solat dan dimulai rukun baharu ataupun betul-betul setelah selesai memberi salam.


Jadi, berikut merupakan tatacara rukun melakukan sujud sahwi dengan betul serta niat yang perlu disertakan. Mudah sahaja caranya untuk mengesahkan solat anda yang mempunyai khilaf sebelum ini.


Kenapa Perlu Lakukan Sujud Sahwi ?

1. Tertinggal Rukun Solat


Ini termasuklah meninggalkan mana-mana rukun dalam solat, kecuali niat dan takbiratul ihram. Jika seseorang yang sedang solat sujud tanpa rukuk, bererti dia telah meninggalkan satu rukun dalam solat. Maka hendaklah bangun kembali dan rukuk, kemudian meneruskan semula solatnya seperti biasa.


Tetapi sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau bertakbiratulihram, solatnya tidak sah dan perlu mengulanginya semula.


2. Meninggalkan Sunat Ab’adh


Sunat-sunat ab’adh adalah seperti berikut:


-Tahiyat awal (pertama)

-Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal

-Duduk tahiyat / tasyahud awal

-Doa qunut pada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan

-Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut

-Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut

-Berdiri semasa berqunut

-Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir


3. Ragu-ragu dengan rakaat


Apa yang kita perlu lakukan apabila secara tiba-tiba berada di rakaat akhir, kita keliru sama ada telah melakukan empat rakaat atau tiga rakaat? Dalam keadaan ragu ini, anda hendaklah mengira rakaat yang paling sedikit.


Setelah itu, anda juga disunatkan melakukan sujud untuk menampung kalau ada melakukan lebih rakaat.


4. Melakukan Perbuatan Yang Dilarang Dalam Solat


Disunatkan untuk melakukan sujud sahwi apabila melakukan perbuatan yang dilarang dalam solat secara tidak sengaja dan perbuatan tersebut tidak membatalkan solat.


Contohnya, bercakap dengan beberapa perkataan kerana terlupa atau menambah rakaat, dan kemudian teringat kembali ketika masih dalam solat. Maka hendaklah dia bersujud.


Susunan Sujud 

#1 Niat

Lafaz niat sujud sahwi tidaklah ditentukan. Anda boleh berniat dengan “sahaja aku melakukan sujud sahwi” di dalam hati.


#2 Sujud pertama

Selepas selesai bacaan tahiyat akhir, terus sujud dan baca bacaan sujud sahwi sebanyak tiga kali.


سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَا مُ وَلاَ يَسْهُوْ

Subhaana man laa yanaamu wa laa yas-huu’ – Maksudnya: Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa


#3 Duduk antara dua sujud


Bangun dari sujud untuk duduk antara dua sujud. Bacaannya sama seperti selalu iaitu;


رب اغْفِرلي وَارْحَمْنِى واجبرني وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِى وَاهْدِنِى وَعَافِنِى وَاعْفُ عَنِّى

Rabbighfirlii , warhamnii , wajburnii , warfa’nii , warzuqnii , wahdinii , wa’aafinii , wa’fuanii


Maksudnya: Ya Allah ampunilah aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, jadikanlah aku sihat, maafkanlah aku.


#4 Sujud kedua

Lanjutkan dengan sujud kedua dan ulang bacaan sujud sahwi sebanyak tiga kali.


#5 Salam

Bangun dari sujud dan beri salam. Anda tidak perlu membaca bacaan tahiyat sebelum memberi salam. Sujud sahwi hanya dilakukan dengan dua kali sujud dan satu kali duduk antara dua sujud. Dengan adanya dua perkara ini, maka sujud sahwi sudah dianggap selesai.


Kesimpulan


Begitu mudah Allah SWT memberi peluang untuk kita memperbetulkan amalan kita bukan? Sebagai manusia yang lemah, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan terlupa..


Sumber: AkuIslam.com

Post a Comment

1 Comments

  1. Terima kasih atas perkongsian. Rasa teruk betul kalau lupa rakaat time solat kan

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!