Bulan Rejab, bulan ketujuh dalam takwim Hijrah kali ini akan jatuh pada hari yang sama dengan 1 Januari 2025. Bulan Rejab antara empat (4) bulan haram yang istimewa, selain bulan ini juga mencatatkan peristiwa sejarah yang sentiasa diingati oleh umat Islam kerana dalam bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW.
Kenali Bulan Rejab
Rejab adalah bulan ketujuh dalam takwim Hijrah. Dalam kalendar Gregorian, bulan ini biasanya jatuh pada bulan Februari atau Mac, bergantung pada tahun tertentu. Rejab adalah antara bulan yang dihormati dan dianggap penuh dengan keberkatan kerana ia merupakan bulan yang Allah SWT telah menyebutnya dalam Al-Qur’an.
Bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati itu bersama dengan bulan Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah, dan Muharram. Dalam bulan-bulan ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan amal ibadah dengan lebih tekun dan menjauhi perbuatan dosa.
Peristiwa Isra Mikraj Dalam Bulan Rejab
Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW telah diisra’kan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin dan kemudian dimi’rajkan (dinaikkan) ke langit menuju Sidratul Muntaha sepertimana firman Allah SWT ayat 1 Surah al-Isra’ yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Baitul Muqadis di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya supaya kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
Dalam peristiwa tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan kemuncak peristiwa inilah Allah SWT telah memfardhukan solat lima waktu kepada umat Islam.
Firman Allah SWT dalam ayat 45 Surah al-Ankabut yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.
Keistimewaan Bulan Rejab
1. Peristiwa Israk dan Mikraj
Bulan Rejab dikenali dengan peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu Israk dan Mikraj. Pada malam 27 Rejab, Nabi Muhammad SAW telah diberi perjalanan luar biasa oleh Allah SWT, dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, dan kemudian ke langit yang tujuh. Peristiwa ini menandakan pengiktirafan Allah terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW dan juga merupakan waktu penurunan kewajipan solat lima waktu.
Israk dan Mikraj bukan sahaja memberi pengajaran tentang kepentingan solat, tetapi juga mengingatkan umat Islam akan kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya. Malam ini dianggap sangat mulia dan menjadi salah satu titik penting dalam perkembangan dakwah Islam.
2. Bulan untuk berdoa dan taubat
Selain Israk dan Mikraj, bulan Rejab juga dianggap sebagai bulan untuk memperbanyakkan doa dan memohon keampunan daripada Allah. Umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Qur’an, dan berdoa memohon kebaikan di dunia dan akhirat.
Dalam bulan ini juga, umat Islam diajar untuk bertaubat dengan sepenuh hati, memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan. Rejab adalah peluang untuk kembali kepada Allah SWT dengan kesungguhan.
3. Amalan sunnah
Terdapat beberapa amalan sunnah yang disarankan pada bulan Rejab. Salah satu daripadanya adalah berpuasa sunat pada hari-hari tertentu dalam bulan ini. Walaupun tidak ada puasa yang wajib dalam bulan Rejab, berpuasa di bulan ini memberi ganjaran yang besar.
Terdapat juga doa-doa tertentu yang boleh diamalkan pada bulan Rejab untuk mendapatkan keberkatan dan keampunan.
Bulan Rejab adalah peluang terbaik untuk umat Islam meningkatkan kualiti ibadah mereka. Jika selama ini kita mungkin terlepas peluang untuk melaksanakan ibadah dengan sepenuh hati, maka bulan Rejab memberi kesempatan untuk kita menambah amal soleh dan mendekatkan diri kepada Allah. Beberapa cara yang boleh diamalkan untuk meningkatkan ibadah pada bulan ini termasuklah perbanyakkan membaca Al-Qur’an, berdoa dan bermunajat kepada Allah, melakukan solat sunat seperti solat dhuha, solat hajat, dan solat tahajjud sebagai usaha untuk meraih keredhaan Allah dan bertaubat.
Barang siapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, seolah-olah dia berpuasa selama 1000 tahun dan seolah-olah memerdekakan 1000 hamba sahaya. Barang siapa bersedekah 1000 dinar, dicatat setiap helai rambut dan bulu yang ada di badannya 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjatnya, dihapuskan darinya 1000 kejahatan dan dicatat juga sedekahnya itu akan beroleh ganjaran 10 kali pahala haji dan umrah, serta didirikan untuknya Gedung di Syurga (Salman al-Farisi)
Doa Bulan Rejab
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
Allahumma bariklana fil rajabin wa sya'baana wa ballighnaa ramadhaan
Ya Allah, Ya Tuhanku berkatilah kami pada bulan Rejab & Sya'aban dan sampaikan (hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan. (HR Baihaqi)
Aamiin Ya Mujib
Tarikh Puasa Sunat Bulan Rejab
- 1 Januari 2025 (Rabu) – 1 Rejab
- 02 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
- 06 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Isnin & Puasa Sunat Rejab)
- 09 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
- 13 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Isnin, Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh)
- 14 Januari 2025 (Selasa) – Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh
- 15 Januari 2025 (Rabu) – Puasa Sunat Rejab & Puasa Hari Putih / Ayyamul Bidh
- 16 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
- 20 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Isnin & Puasa Sunat Rejab)
- 23 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
- 27 Januari 2025 – Israk Mikraj 27 Rejab (Puasa Sunat Hari Isnin & Puasa Sunat Rejab)
- 30 Januari 2025 (Puasa Sunat Hari Khamis & Puasa Sunat Rejab)
Sumber :
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!