6 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah

Siapa suka labu kuning? Sebagai peminat labu kuning, kunjungan ke pasar setiap minggu memang tak lepas melihat labu kuning yang cantik menguning warnanya. Selalunya tak beli sebiji tapi separuh pun dah cukup banyak.  Bagi sesetengah orang mungkin tak boleh makan labu kuning ni sebab  boleh menyebabkan angin dan kembung perut.  Selain labu kuning, daun pucuk labu ni memang sedap dibuat masak lemak putih dan digandingkan dengan sambal belacan dan ikan kering. Memang tak cukup sepinggan nasi!

Teringat waktu kecil dulu bila bonda belikan buah labu ni, biji labu bonda akan bersihkan dan dijadikan kuaci labu kuning.


Keluarkan biji labu, bersihkan dan masukkan ke dalam periuk bersama air yang menutupi biji labu. Ambil 1 sudu besar garam, campurkan ke dalam periuk dan direbus bersama dengan api sederhana. Bila air sudah mengering, angkat dan keringkan biji labu dibawah matahari.  Sekiranya tiada panas dek kerana musim hujan, sangai biji labu diatas api dengan api perlahan. Tunggu sejuk dan boleh di makan. Mudah kan!


1. Resepi Masak Lemak Putih Labu Kuning Dengan Pucuk Labu

5 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah 

Bahan-bahan:-
1/2 biji labu
pucuk labu (kalau ada)
2 ulas bawang merah, ditumbuk
2 ulas bawang putih, ditumbuk
1 batang serai, diketuk
2 tangkai cili kering
1 mangkuk santan cair
1 mangkuk santan pekat
1 biji telur
daun kunyit
garam secukup rasa


Cara memasak:-

  • Kupas kulit labu dan potong kepada bentuk kiub yang besar. Basuh bersih dan direbus tapi jangan sampai terlalu empuk.
  • Masukkan bahan yang ditumbuk, labu yang direbus, pucuk labu (kalau ada) dan serai yang diketuk ke dalam periuk dan dengan santan cair di atas api perlahan dalam anggaran 5-10 minit. 
  • Masukkan santan pekat dan pecahkan telur. Masak di atas api yang perlahan sehingga santan pekat mendidih. Kuah perlu dikacau kerap supaya tidak berketul tapi jangan kacau berlebihan supaya labu tidak hancur. Masak dalam 5 - 10 minit dan jangan sampai pecah minyak.
  • Apabila labu sudah masak angkat dan hidang. Siap!


2. Resepi Bingka Labu

5 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah 

Bahan-bahan:-
2 cawan labu (450+ gm labu kuning)
1 cawan tepung gandum
2 sudu makan tepung jagung
¾ cawan gula perang
½ cawan mentega (±150 gm)
2 biji telur gred A
2½ cawan susu cair (250ml)
sedikit garam secukup rasa
1 sudu esen vanilla
2 sudu bijan, disangai


Cara memasak:-
  • Labu dibuang kulit, dibuang biji, dipotong dadu dan kemudian direbus hingga empuk, toskan dan biarkan ia sejuk
  • Campurkan kesemua bahan ke dalam pengisar dan  dikisar hingga labu menjadi halus dan sebati.
  • Kemudian masukkan tepung gandum dan tepung jagung dikisar hingga adunan menjadi sebati.  Semasa memasukkan tepung tu, kacau sedikit tepung supaya bercampur dengan bahan yang dikisar awal tu supaya tepung tak melekat di dinding pengisar
  • Sementara tu panaskan ketuhar selama 5 minit pada suhu 180C dan leserkan mentega pada loyang
  • Tapiskan adunan dan tuang kedalam loyang sehingga memenuhi 3/4 loyang, jangan sampai penuh kerana adunan akan mengembang
  • Masukkan ke dalam ketuhar selama 10 min dan keluarkan loyang, taburkan bijan yang disangai dan masukkan loyang kembali ke dalam ketuhar. Sambung bakar selama 30 min atau sehingga ianya masak. Siap!

Nota :
untuk memastikan kuih telah masak, cucuk di bahagian tengah kuih dengan lidi dan kalau tidak melekat, tu tandanya dah masak.


3. Resepi Lepat Labu

5 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah 


Bahan-bahan:-
500 gm labu kuning, dikukus dan dilenyek
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung tepung beras
1/2 cawan pati santan
1 biji kuning telur
1tsp garam
Gula secukup rasa
Kelapa parut + garam, untuk inti
minyak
Daun pisang, dilayurkan

Cara memasak:-
  • Campurkan tepung gandum dan tepung beras, kuning telur, santan dan gula bersama labu yang telah dilenyek. Adunkan sehingga menjadi doh.  Sekiranya adunan lembik, tambah sedikit tepung
  • Oleskan minyak diatas daun pisang yang telah dilayurkan dan letakkan 1 atau 2 sudu besar adunan diatasnya. Ratakan dan leperkan dan letakkan inti kelapa ditengahnya. Bungkus seperti membuat lepat.
  • Panaskan pengukus dan kukus kesemua lepat sehingga masak.


4. Resepi Cucur Labu

5 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah
pix kredit warisanbondaresepi

Bahan-bahan:-
1 cawan isi labu, dilecek
1 cawan tepung gandum
½ cawan gula pasir
½ sudu kecil baking powder
1 sudu kecil yis segera
sedikit garam halus
⅓ cawan air suam


Cara membuatnya:-
  • Satukan tepung, yis, gula, baking powder dan garam dalam mangkuk kemudian di gaul rata
  • Masukkan labu yang telah dilenyek bersama air dan susu pekat.  Uli hingga menjadi doh  yang kental hingga rata
  • Tutup adunan dengan plasti dan biarkan selama 20 - 30 min supaya adunan naik kembang
  • Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana hingga kekuningan
  • Toskan dan boleh dihidangkan

5. Resepi Sup Labu ala Barat (Pumpkin Soup)

5 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah 

Bahan-bahan:-
1/2 biji labu saiz kecik
1 biji kentang, dipotong
1 biji bawang kuning (holland), dihiris
2 ulas bawang putih
1 kiub pati ayam
1 sudu lada hitam, dikisar
1 sudu paprika
sedikit serbuk buah pala (kalau ada)
200 ml cooking cream
stok ayam atau daging (kalau ada)
garam secukup rasa

Nota : Kalau tak ada cooking cream boleh guna santan kotak dan memangkan saya kehabisan serbuk buah pala jadinya soup saya kurang kick tapi masih sedap dan licin.


Cara membuatnya:
  • Labu dikupas dan dipotong dadu, kentang dikupas, dipotong kecil, bawang kuning dihiris dan direnih bersama dengan bawang putih
  • Bila kesemuanya sudah lembut, keluarkan dan kisar dalam blender (biar sejuk sikit sebelum di kisar sampai halus)
  • Masukkan minyak zaitun ke dalam periuk dan masukkan bahan yang dikisar dengan 1/2 cawan air serta kiub ayam. Biarkan ia masak dan masukkan paprika dan lada hitam, dikacau supaya ianya sebati
  • Masukkan cooking cream dan kacau hingga sebati. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.
  • Hidangkan dengan kepingan roti (croutons) dan sedia dimakan.

6. Resepi Pengat Labu Manis (kredit resepi Che Nom)

6 Resepi Dari Labu Kuning Yang Sedap Dan Mudah
kredit resepi Che Nom

Bahan-Bahan:
1/2 biji labu
1/2 cawan air
2 sudu besar gula putih
2 helai daun pandan
1 mangkuk besar santan
1/3 cawan gula melaka ATAU 1 keping gula nisan
1/2 cawan sagu
1/2 -1 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:
  • Rendam sagu dalam air dalam 15-30 minit. Tapis dan bilas dengan air.
  • Kupas kulit labu, bersihkan dan potong kiub besar.
  • Masukkan dalam periuk bersama air, gula putih serta daun pandan yang dicarik dan disimpul. Tutup periuk dan masak sehingga labu lembut.
  • Masukkan santan, gula melaka, dan sagu yang direndam tadi. Pastikan api perlahan supaya santan tak berketul. Kacau-kacau sedikit kuah santan dan reneh sehingga mendidih.
  • Perasakan dengan garam secukup rasa. Siap sedia untuk dihidang.
  • Tips:
  • Santan segar boleh diganti dengan 1 kotak santan cuma perlu lebihkan air supaya berkuah.
  • Rendam sagu sekejap supaya kembang kerana kita nak sagu cepat masak dan tak perlu direneh lama kerana takut santan akan mudah jadi berketul.
  • Pastikan labu sudah masak lembut barulah dimasukkan santan.

Post a Comment

7 Comments

  1. memang peminat labu betul akak nih... dana kadang labu tu dikukus makan gitu je atau cicah gula sedap kak... pastu labu tu potong nipis goreng dengan tepung macam cekodok sedap kak

    ReplyDelete
  2. Makasih kak, boleh saya coba nih resepnya, kebetulan nenek saya nanam labu.

    ReplyDelete
  3. Masak lemak labu, buat teringat pada nenek saya ;)

    ReplyDelete
  4. Saya suka semua makanan berasaskan labu. Sedap! Masak lemak putih labu + Ikan atau ayam goreng + sambal belacan boleh bertambah-tambah nasi. Hihi.

    ReplyDelete
  5. i masih berpantang makana angin-angin ni.. kalau tak dah buat kecodok labu dgn lepat labu tu.. sedapnyaa

    ReplyDelete
  6. Tgh terfikir2 nak buat apa labu sebijik yg jiran bagi selain buat lemak labu. Tq resepi kak

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!